Kerjasama politik ikut situasi setiap negeri – Mohamad

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 1:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerjasama politik ikut situasi setiap negeri – Mohamad

KUALA LUMPUR: Kerjasama politik di setiap negeri tidak boleh menggunakan satu formula yang sama berikutan keadaan politik di negara ini yang tidak lagi seragam.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang perbincangan kerjasama politik boleh dilakukan di peringkat negeri, namun hasil rundingan berkenaan perlu dibawa kepada pengetahuan ibu pejabat parti.

Katanya, pengurusan di ibu pejabat kemudiannya akan meneliti setiap rundingan dan perbincangan yang dilakukan di peringkat negeri.

“Biarlah mereka buat apa sahaja perbincangan di peringkat negeri. Apa juga perbincangan mereka itu perlu dibawa kepada pengetahuan ibu pejabat.

“Tiba masanya nanti, pengurusan di ibu pejabat akan meneliti setiap apa saja rundingan dan perbincangan yang dilakukan kerana seperti yang saya sebut dalam ucapan saya, there’s no one size fits all,” katanya ketika ditemui selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan UMNO Kedah yang memutuskan untuk hanya berunding dengan Pas dan bukannya parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Jurucakap UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, rundingan akan dimulakan dengan ‘minum kopi’ bersama pimpinan Pas Kedah namun tidak akan melibatkan PN.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pendekatan itu mengambil kira keadaan politik di tanah air yang kini tidak seragam.

“Kita nak pelbagaikan kerana keadaan dalam politik di tanah air sekarang ini tidak seragam lagi.

“Jadi kita tidak boleh menggunakan satu formula yang boleh diguna pakai untuk semua negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, tempoh lebih tiga tahun selepas pilihan raya biasanya menjadi masa parti politik mula menggerakkan usaha ke arah pilihan raya.

Katanya, sama ada pilihan raya akan diadakan atau tidak, parti politik akan sentiasa mahu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

“Sekarang dah lebih daripada tiga tahun. Biasanya mood untuk buat gerakan pilihan raya itu memang selalunya selepas tiga tahun.

“Jadi sama ada nak dibuat atau tidak, kerana parti politik akan sentiasa mahu mengambil mandat yang baru daripada rakyat,” katanya.

Tambah beliau, UMNO sebagai salah sebuah parti politik yang mempunyai kepentingan dalam politik tanah air juga mahu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat atau pengundinya.

“Kita nak supaya kita mendapat mandat baru daripada rakyat ataupun pengundi kita agar rakyat boleh memastikan bahawa mereka mahukan kerajaan yang mereka pilih nanti,” katanya. – UTUSAN

The post Kerjasama politik ikut situasi setiap negeri – Mohamad appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved