
KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO menyambut baik cadangan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya tahap keikhlasan dan kesetiaan dalam persefahaman politik diuji di salah sebuah negeri SG4.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang persefahaman politik yang mahu dibentuk perlu berlandaskan tiga perkara utama iaitu kepercayaan, kesetiaan dan keikhlasan.
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan usaha membina perpaduan tidak sekali lagi terlerai akibat campur tangan pihak lain.
“Apa juga persefahaman politik yang nak dilakukan mesti berasaskan kepercayaan, kesetiaan dan keikhlasan.
“Sepertimana dibahaskan dan Presiden pun berulang kali menyebutkan, jangan pisang berbuah dua kali, jangan ada pihak ketiga yang akhirnya meleraikan perpaduan yang cuba nak dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas ucapan pergulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan cadangan untuk menguji keikhlasan di salah sebuah negeri SG4 sebagai langkah yang mudah dan boleh dilaksanakan.
Menurutnya, cadangan itu boleh menjadi ukuran bagi melihat kekuatan Barisan Nasional (BN) di negeri yang bukan merupakan kubu kuat gabungan berkenaan.
“Saya tertarik dengan cadangan yang dibuat oleh Timbalan Presiden tentang menguji kesetiaan dan keikhlasan daripada SG4, salah satu daripada negeri untuk membuat pilihan raya negeri mereka dan menentukan pemberian kerusi kepada Barisan Nasional.
“Bagi saya, itu satu cadangan yang begitu mudah, boleh dilaksanakan. Ia sangat mudah dan jelas,” katanya.
Azalina berkata, pendekatan itu juga boleh dijadikan perbandingan memandangkan BN mempunyai kekuatan di negeri-negeri selatan termasuk Johor dan Melaka.
“Bagi saya, itu bagus untuk mengukur sebab kita daripada Selatan, Johor memang kuat majoriti BN, juga Melaka, insya-Allah.
“Jadi, nak menguji kekuatan BN di tempat-tempat yang bukan kuat BN itu ialah satu asas perbandingan yang terbaik,” katanya.
Sebelum ini, Mohamad mencadangkan supaya salah sebuah negeri SG4 mengadakan pilihan raya bagi menguji sejauh mana keikhlasan dalam persefahaman politik dan mencari formula yang boleh menyatukan orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Perkara itu disambut oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersetuju UMNO menguji kesetiaan dan kejujuran Pas dalam menjayakan tafahum siyasi melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu, Kelantan dan Kedah. – UTUSAN
The post Pemimpin UMNO sambut uji keikhlasan Pas appeared first on Utusan Malaysia.






