KUALA LUMPUR - UMNO mencadangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dijadikan medan menguji keikhlasan rakan politik, khususnya dalam gabungan SG4 bagi untuk membuktikan sejauh mana komitmen terhadap kerjasama dan penyatuan ummah Melayu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pilihan raya di salah satu negeri SG4 itu penting bagi melihat sama ada kerjasama yang dijalin benar-benar berasaskan persefahaman bersama atau sekadar memberi keuntungan kepada satu pihak.
"Saya nak cadangkanlah Datuk Seri Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) supaya lepas (PRN) Melaka esok, kita cuba pula sejauh mana keikhlasan kawan kita. Kita minta salah satu daripada negeri SG4 berkenaan buat pilihan raya.
"Kau buat pilihan raya, aku nak tengok apa formula kau orang. Buat di Terengganu," katanya ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan, keputusan PRN itu kelak boleh dijadikan penanda aras untuk menentukan pembahagian kerusi berdasarkan kekuatan sebenar setiap parti.
"Dalam pilihan raya (formula) kita buat, kita menang empat, satu aku. Kau menang lima, satu kau.
"Jadi bererti kita ada satu formula. Jadi yang empat itu, dua untuk kau, dua untuk aku. Senang. Tak ada masalah," ujarnya.
Dalam masa sama beliau menjelaskan, usaha membina persefahaman politik tidak seharusnya hanya diletakkan di bahu UMNO, sebaliknya perlu melibatkan komitmen dua hala daripada semua rakan politik.
"Tapi kita nak uji kejujuran. Kita nak tengok sejauh mana. Jangan kita sahaja terhegeh-hegeh. Jangan kita sahaja hidup melukut di tepi gantang," katanya.






