Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menyerahkan tawaran dibawah kerjasama strategi Malaysia-ARM kepada tiga buah syarikat tempatan sebagai langkah untuk memperkasakan dan memperkukuhkan keupayaan negara dalam industri merekacipta dan membangunkan teknologi litar bersepadu tempatan.
Tiga syarikat tempatan, termasuklah Great Asic Technology Sdn Bhd, SkyeChip Bhd, dan OppStarr Technology Sdn Bhd telah diberikan akses kepada empat token pembangunan teknologi ARM, termasuklah Arm CSS (Compute Subsystems) dan Arm Flexible Access yang memberikan syarikat-syarikat ini akses kepada harta intelek Arm untuk mempercepatkan proses rekacipta teknologi semikonduktor tempatan oleh syarikat-syarikat ini.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir mengatakan bahawa penyerahan tawaran ini memberi isyarat bahawa Malaysia sedang menuju fasa baharu industri semikonduktor tempatan.
“Malaysia telah lama dikenali dalam aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip. Kekuatan ini penting, tetapi masa depan industri tidak boleh berhenti di situ. Kita mesti bergerak lebih jauh daripada back-end kepada front-end, daripada sekadar menghasilkan kepada mereka bentuk, membangunkan IP dan mencipta teknologi sendiri,” katanya.
Kerjasama Malaysia-Arm merangkumi tiga teras utama, iaitu melatih 10,000 bakat dalam sektor rekaan litar bersepadu, memberi akses kepada teknologi pengkomputeran dan portfolio Arm kepada syarikat Malaysia terpilih dan membangunkan produk semikonduktor tempatan yang direka di Malaysia.

Inisiatif ini selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), yang memberi penekanan kepada pembangunan industri bernilai tambah tinggi, reka bentuk cip, pembungkusan termaju, peralatan semikonduktor dan fabrikasi wafer.
Kementerian Ekonomi menegaskan bahawa kejayaan inisiatif ini akan diukur kepada pelaksanaan dan hasil nyata, termasuk produk yang boleh dikomersialkan, lebih banyak IP didaftarkan di Malaysia, pekerjaan berkemahiran tinggi serta penglibatan lebih ramai bakat tempatan dalam kerja reka bentuk cip bernilai tinggi.
Malaysia telah memeterai perjanjian perkongsian teknologi dengan Arm setahun yang lalu, dan kini, kerajaan Malaysia nampaknya telah mula menawarkan perkongsian ini kepada sejumlah syarikat semikonduktor tempatan.






