Elon Musk Mengesahkan TeraFab Kelak Akan Menggunakan Proses Intel 14A Untuk Menghasilkan Cip AI

TechnologyStartup
23 Apr 2026 • 6:27 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sejak awal bulan ini, banyak berita menarik yang telah dilaporkan tentang TeraFab, kilang pengeluaran cip pemprosesan dibawah kawal-selia Elon Musk yan akan dikendali oleh syarikat-syarikat teknologi dibawahnya, termasuklah Tesla dan SpaceX.

Pada awal bulan ini, kami telah melaporkan bahawa Intel mengumumkan kerjasama bersama TeraFab untuk menyalurkan pengetahuan dan kemampuan teknologi pengeluaran cip semikonduktor mereka kepada TeraFab apabila ia mula beroperasi kelak.

Image from: Elon Musk Mengesahkan TeraFab Kelak Akan Menggunakan Proses Intel 14A Untuk Menghasilkan Cip AI

Elon Musk nampaknya telah memperlihatkan maklumat baru mengenai kerjasama ini, dan mengatakan bahawa apabila ia mula beroperasi kelak, seawal mungkin 2029, TeraFab akan menggunakan teknologi pengeluaran cip semikonduktor Intel 14A (1.4nm) untuk menghasilkan cip-cip pemprosesan AI akan datang untuk syarikat-syarikat Tesla, SpaceX dan xAI.

Beliau turut mengatakan bahawa Tesla dan SpaceX akan bertanggungjawab untuk mengendalikan aspek-aspek kilang TeraFab ini. Di fasa awal, sebuah pusat penyelidikan dan pengeluaran cip berskala kecil akan dibangunkan terlebih dahulu, dan Tesla akan bertanggungjawab untuk bahagian penyelidikan cip dan eksperimentasi pengeluaran berskala kecil (beberapa ribu cip AI sebulan) yang dijangka akan menelan belanja $3 bilion.

Eksperimen cip dan pengeluaran cip ini akan menjadi asas kepada kilang pengeluaran cip TeraFab sebenar apabila ia beroperasi sekitar 2029 kelak, yang mana proses pengeluaran cip semikonduktor Intel 14A akan digunakan untuk menghasilkan cip-cip pemprosesan AI, dan bahagian ini akan dikendalikan oleh pihak SpaceX.

Penggunaan proses Intel 14A ini juga dilihat sebagai satu langkah dan keputusan yang menarik, kerana syarikat-syarikat pengeluar cip semikonduktor seperti Intel, TSMC dan Samsung sangat mementingkan penjagaan rahsia teknologi pengeluaran cip semikonduktor ini. Ia dijangka bahawa teknologi tersebut akan dilesenkan oleh pihak Intel, yang mana kelengkapan pengeluaran akan dihantar dan dipasang oleh Intel sendiri sebelum ia mula beroperasi.

Pengesahan penggunaan proses Intel 14A ini juga dilihat cukup menarik kerana Intel sendiri masih lagi sedang membangunkan dan menguji proses tersebut. Intel kini menggunakan proses 18A (1.8nm) untuk menghasilkan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 Panther Lake dan siri cip pemprosesan Intel Nova Lake yang akan diperkenalkan pada hujung tahun ini.