Kerjasama strategik TNB, MRT Corp pertingkat kecekapan penggunaan tenaga, operasi infrastruktur lebih mampan

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 5:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kerjasama strategik TNB, MRT Corp pertingkat kecekapan penggunaan tenaga, operasi infrastruktur lebih mampan

PETALING JAYA – Malaysia Ra­pid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada untuk memacu penyelesaian tenaga mampan, mobiliti hijau dan pembangunan infrastruktur rel yang lebih cekap tenaga serta berdaya tahan.

Melalui pemeteraian kerjasama strategik, ia menggabungkan peranan MRT Corp dalam pembangunan dan pengurusan pelbagai aset infrastruktur rel bandar dengan kepakaran TNB sebagai utiliti elektrik negara bagi mengenal pasti peluang me­ningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, menyokong mobiliti hijau dan mewujudkan operasi infrastruktur yang lebih mampan.

Usaha ini adalah kesinambungan hubungan kerja antara ke­dua-dua organisasi dalam projek MRT1, MRT2, Laluan Mutiara Pulau Pinang serta Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link).

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, kerjasama ini mencerminkan kepentingan mengintegrasikan penyele­saian tenaga mampan dalam pembangunan dan pengoperasian infrastruktur kritikal, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Bekalan elektrik yang berdaya harap merupakan asas penting bagi memastikan kelancaran operasi infrastruktur pengangkutan awam.

“Menerusi kerjasama ini, TNB berhasrat untuk mene­roka penyelesaian tenaga bersama MRT Corp yang dapat ­meningkatkan kecekapan tenaga, ­memperkukuh daya harap ­bekalan elektrik serta menyokong penggunaan tenaga boleh baharu di kemudahan yang bersesuaian.

“MOU ini menyediakan kerangka bagi kedua-dua orga­nisasi untuk meneroka peluang kerjasama yang lebih luas, khususnya dalam memanfaatkan penyelesaian tenaga bagi me­ningkatkan nilai dan kecekapan operasi infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman bersempena Transport Expo Asia (TXA) 2026 yang disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di sini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd. Zarif Hashim.

Kerjasama strategik tersebut akan bermula di RTS Link, khususnya di Kompleks ICQ Bukit Chagar dan Depoh Wadi Hana.

Kedua-dua pihak akan meneroka peluang pelaksanaan penyelesaian tenaga boleh baharu, meningkatkan kecekapan tenaga, menyokong mobiliti hijau dan memperkukuh daya harap infrastruktur elektrik.

MOU ini merangkumi tiga bidang kerjasama utama, bermula dengan penyelesaian tenaga solar yang melibatkan penerokaan peluang pembangunan dan pelaksanaan sistem tenaga boleh baharu di premis serta aset yang bersesuaian.

Ini termasuk penilaian ini­siatif penjimatan tenaga bagi mengurangkan penggunaan elektrik dan kos operasi, sekali gus menyokong pengurusan infrastruktur yang lebih cekap dan mampan dari segi alam sekitar.

Bidang kedua memberi tumpuan kepada pengecasan ken­deraan elektrik (EV) dan mobiliti hijau, termasuk potensi penye­diaan kemudahan pengecasan EV di premis MRT Corp yang terpilih.

Kedua-dua pihak akan me­neroka bagaimana infrastruktur pengecasan ini dapat melengkapi kemudahan pengangkutan awam serta menggalakkan penggunaan pilihan mobiliti yang lebih mampan.

Bidang ketiga pula melibatkan daya harap elektrik dan perkhidmatan penyelenggaraan, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang untuk meningkatkan keselamatan, keboleharapan dan daya tahan operasi sistem elektrik serta set janakuasa yang menyokong kemudahan infrastruktur rel kritikal. -KOSMO! ONLINE

The post Kerjasama strategik TNB, MRT Corp pertingkat kecekapan penggunaan tenaga, operasi infrastruktur lebih mampan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved