Bus Cap rancang perluas perniagaan ceburi perkhidmatan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 5:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bus Cap rancang perluas perniagaan ceburi perkhidmatan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia Image from: Bus Cap rancang perluas perniagaan ceburi perkhidmatan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia amree20/10/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Bus Cap Berhad menjalin kerjasama strategik selama dua tahun dengan StarCharge Energy Sdn Bhd bagi meneroka peluang infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, termasuk pemasangan tempatan, penjualan peralatan serta perkhidmatan penyelenggaraan.

 

Kerjasama itu menandakan langkah terbaharu kumpulan tersebut untuk mengembangkan perniagaannya daripada hanya sekadar pengeluar badan bas kepada kumpulan ekosistem mobiliti dan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang merangkumi infrastruktur pengecasan serta perkhidmatan teknikal.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, skop kerjasama merangkumi pembangunan infrastruktur stesen pengecasan, perkongsian kepakaran teknikal, pemasangan, penyelenggaraan dan penyetempatan operasi, selain potensi pemasangan peralatan secara separa siap atau 'semi-knocked-down' (SKD).

 

"Peluang perniagaan ini bukan sahaja tertumpu kepada pengendali bas dan armada komersial, malah merangkumi pemilik kenderaan penumpang, pengendali stesen pengecasan, pemilik serta pemaju hartanah, premis perniagaan dan kawasan kediaman," jelas Bus Cap dalam kenyataan.

 

Pengarah Eksekutifnya, Bernard Ng Chong Yan berkata, kerjasama itu melengkapkan usaha kumpulan membangunkan ekosistem mobiliti elektrik yang merangkumi pembuatan kenderaan, teknologi tenaga baharu, infrastruktur pengecasan dan perkhidmatan selepas jualan.

 

Ujar beliau, langkah penyediaan bas elektrik sahaja dilihat sebagai belum lagi mencukupi kerana pengendali kenderaan berat tersebut turut memerlukan sistem pengecasan yang boleh dipercayai, penyelenggaraan teknikal serta kaedah mengurus kos tenaga di depoh.

 

Bus Cap_DagangNews2026

 

Gabungan perniagaan tersebut tambahnya, berpotensi membolehkan Bus Cap mengambil bahagian dalam lebih banyak peringkat kitaran hayat operasi pelanggan dan membangunkan sumber pendapatan secara berulang daripada perkhidmatan yang ditawarkan.

 

StarCharge, anak syarikat StarCharge Digital Energy Co Ltd, mempunyai operasi di lebih 70 negara dan wilayah serta membekalkan dua juta pengecas EV di seluruh dunia. Keupayaannya turut merangkumi peralatan pengecasan pintar, pengurusan tenaga, penyimpanan bateri dan rumusan solar fotovolta (PV).

 

"Kerjasama itu menyusuli memorandum persefahaman dengan BYD Malaysia Sdn Bhd pada Ogos 2026 bagi meneroka platform kenderaan komersial yang boleh disetempatkan. Kumpulan turut melantik Ma Xiyin, yang mempunyai pengalaman dalam sektor RE ke lembaga pengarahnya," kata Chong Yan.

 

Menurut Bus Cap, gabungan inisiatif berkenaan boleh menghubungkan pembuatan kenderaan, teknologi tenaga baharu, infrastruktur pengecasan dan perkhidmatan sepanjang kitaran hayat kenderaan, selaras dengan strategi peluasan perniagaan kumpulan.

 

Peluang itu turut disokong perkembangan elektrifikasi pengangkutan awam negara, dengan Prasarana Malaysia Berhad merancang memperkenalkan lebih 1,100 bas elektrik antara 2025 hingga 2030 sebelum beralih kepada operasi bas elektrik sepenuhnya menjelang 2037.

 

Selain itu, langkah insentif teknologi hijau yang dicadangkan dalam Belanjawan 2027 termasuk pelanjutan insentif pelaburan berkaitan sehingga 31 Disember 2030.

 

Mengulas hala tuju seterusnya, Chong Yan berkata, kerjasama dengan StarCharge turut menyediakan asas untuk meneroka integrasi tenaga solar, penyimpanan tenaga bateri dan pengurusan tenaga pintar bagi armada komersial, namun usaha itu masih pada peringkat penerokaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved