MRT Corp, TNB perkukuh kerjasama strategik dan fokus tenaga mampan di RTS Link

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 5:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MRT Corp, TNB perkukuh kerjasama strategik dan fokus tenaga mampan di RTS Link Image from: MRT Corp, TNB perkukuh kerjasama strategik dan fokus tenaga mampan di RTS Link hamden21/10/2026 - 17:04 Oleh HAMDEN RAML editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt – Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperkukuh kerjasama strategik bagi meneroka penyelesaian tenaga mampan, mobiliti hijau serta meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan infrastruktur rel, bermula menerusi projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

 

Kerjasama itu akan memberi tumpuan awal kepada Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar serta Depoh Wadi Hana, termasuk penerokaan penggunaan tenaga boleh baharu, inisiatif penjimatan tenaga dan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV).

 

Kedua-dua pihak memeterai kerjasama itu menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) pada Transport Expo Asia (TXA) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

 

MoU berkenaan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Sri Ir. Ts. Shamsul Ahmad, dengan disaksikan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

 

Perkongsian itu menggabungkan kepakaran MRT Corp dalam pembangunan dan pengurusan aset infrastruktur rel bandar dengan keupayaan TNB sebagai syarikat utiliti elektrik negara bagi mengenal pasti peluang meningkatkan prestasi tenaga serta menyokong operasi infrastruktur yang lebih mampan.

 

Kerjasama berkenaan turut dibina berasaskan hubungan kerja sedia ada antara kedua-dua organisasi menerusi projek MRT Laluan 1 (MRT1), MRT Laluan 2 (MRT2), Laluan Mutiara Pulau Pinang dan RTS Johor Bahru-Singapura.

 

Tiga bidang kerjasama utama

MoU itu menetapkan tiga bidang kerjasama utama, iaitu penyelesaian tenaga solar, pengecasan EV dan mobiliti hijau serta kebolehpercayaan elektrik dan perkhidmatan penyelenggaraan.

 

Bagi bidang tenaga solar, kedua-dua pihak akan meneroka peluang membangunkan dan melaksanakan sistem tenaga boleh baharu di premis serta aset yang bersesuaian, selain menilai inisiatif penjimatan tenaga bagi mengurangkan penggunaan elektrik dan kos operasi.

 

Dalam bidang pengecasan EV dan mobiliti hijau, kerjasama itu merangkumi penerokaan potensi penyediaan kemudahan pengecasan EV di premis terpilih MRT Corp.

 

Kedua-dua pihak juga akan menilai bagaimana kemudahan berkenaan dapat melengkapi pengangkutan awam serta menyokong penggunaan pilihan mobiliti yang lebih mampan.

 

Sementara itu, kerjasama dalam kebolehpercayaan elektrik dan penyelenggaraan bertujuan meneroka peluang meningkatkan keselamatan, kebolehpercayaan serta daya tahan sistem elektrik dan set penjana yang menyokong operasi kemudahan rel kritikal.

 

Kerjasama itu turut melengkapi usaha TNB memajukan peralihan tenaga Malaysia sejajar dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), khususnya melalui pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu dan pelaksanaan penyelesaian tenaga yang lebih cekap.

 

Memperkukuh kemampanan operasi RTS Link

Pemilihan RTS Link sebagai titik permulaan kerjasama itu menyusuli kejayaan projek berkenaan memperoleh penarafan lima bintang INFRASTAR Mampan yang dianugerahkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) baru-baru ini.

 

Mohd Zarif berkata, tanggungjawab MRT Corp mengendalikan Depoh Wadi Hana, Kompleks ICQ dan Stesen RTS di Bukit Chagar bukan sahaja melibatkan penyampaian infrastruktur, malah turut merangkumi pengurusan kemudahan secara cekap, boleh dipercayai dan mampan.

 

Shamsul pula berkata, kerjasama itu mencerminkan kepentingan mengintegrasikan penyelesaian tenaga mampan dalam pembangunan dan pengendalian infrastruktur kritikal, selaras dengan aspirasi NETR.

 

Katanya, bekalan elektrik yang boleh dipercayai merupakan asas kepada operasi infrastruktur pengangkutan awam yang berkesan.

 

Beliau berkata, selain tumpuan awal terhadap RTS Link, MoU itu turut menyediakan rangka kerja bagi kedua-dua organisasi meneroka peluang kerjasama lain yang membolehkan penyelesaian tenaga menjana nilai kepada operasi infrastruktur. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved