hamden14/08/2026 - 18:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kerjaya Prospek Group Bhd (KPGB) meningkatkan kepentingan strategiknya dalam ES Sunlogy Bhd kepada 28.27% selepas anak syarikat milik penuhnya, Acumen Marketing Sdn Bhd, membeli tambahan 147.7 juta saham syarikat tenaga boleh baharu itu bernilai RM40.18 juta secara tunai.
KPGB dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia berkata, Acumen pada 14 Ogos 2026 memeterai urus niaga langsung dengan 18 pemegang saham ES Sunlogy bagi pembelian tersebut pada harga purata RM0.272 sesaham.
Pembelian itu mewakili kira-kira 19.18% daripada jumlah saham terbitan ES Sunlogy, sekali gus meningkatkan pegangan Acumen daripada 9.09% kepada 28.27%.
Susulan transaksi itu, Acumen kini menjadi pemegang saham terbesar ES Sunlogy, mengatasi pemegang saham utama lain, iaitu Chu Kerd Yee dengan pegangan 20.9% dan Khor Chuan Meng sebanyak 14.8%.
Harga pembelian RM0.272 sesaham itu juga mewakili diskaun kira-kira 28.42%, atau RM0.108 sesaham, berbanding harga penutup ES Sunlogy pada 13 Ogos 2026.
KPGB berkata jumlah pertimbangan pembelian itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman yang dijana Acumen.
Harga transaksi ditentukan berdasarkan asas pembeli dan penjual bersedia, dengan mengambil kira harga pasaran semasa saham ES Sunlogy, sejarah harga dan jumlah dagangan, prospek perniagaan serta prestasi kewangan syarikat berkenaan, selain pertimbangan komersial lain.
Kukuhkan kedudukan strategik dalam tenaga boleh baharu
Menurut KPGB, pemerolehan tambahan itu selaras dengan strategi pelaburannya dalam ES Sunlogy seperti yang diumumkan pada 16 Julai 2026.
Langkah itu membolehkan kumpulan meningkatkan kepentingan ekuitinya secara strategik serta mengukuhkan kedudukannya dalam ES Sunlogy dengan menjadi pemegang saham terbesar.
Lembaga Pengarah KPGB berkata pihaknya melihat prospek pertumbuhan jangka panjang yang positif bagi perniagaan kejuruteraan dan tenaga boleh baharu ES Sunlogy.
Prospek tersebut disokong peningkatan pelaburan dalam infrastruktur tenaga boleh baharu, inisiatif peralihan tenaga serta pembangunan mampan.
Berdasarkan harga pasaran penutup ES Sunlogy pada 13 Ogos 2026, nilai pasaran 147.7 juta saham yang diperoleh KPGB itu adalah sekitar RM56.13 juta, berbanding kos pembelian RM40.18 juta.
Jumlah pembelian tersebut mewakili kira-kira 3.34% daripada aset bersih disatukan terkini KPGB.
KPGB berkata transaksi berkenaan tidak dijangka memberi kesan material terhadap keuntungan dan pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. - DagangNews.com





