hamden13/08/2026 - 10:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kerjaya Prospek Group Berhad (KPG) berpeluang meraih beberapa lagi kotrak pembinaan pada baki separuh kedua 026 (2H26) sekali gus meningkatkan jumlah sasaran tahunan kepada RM2.7 bilion, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, antara projek yang berpotensi menyumbang kepada penggantian kontrak KPG ialah Mezon@Park Enclave milik Aspen Group di Batu Kawan, Pulau Pinang, yang dianggarkan bernilai antara RM200 juta hingga RM400 juta berdasarkan nilai kontrak terdahulu.
Selain itu, KPG turut berpotensi memperoleh kontrak pembinaan bagi projek milik Kerjaya Prospek Property Bhd (KPPROP) di Batu Kawan, yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM720 juta.
"Nilai pembinaan projek berkenaan dianggarkan sekitar RM288 juta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Susulan prospek kontrak yang lebih kukuh, firma penyelidikan berkenaan menaikkan anggaran penggantian kontrak KPG bagi FY26 kepada RM2.75 bilion, daripada RM2.3 bilion sebelum ini.
Firma itu turut mengekalkan saranan ‘BELI’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM3.33 daripada RM3.19, mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 22% serta hasil FY27F sekitar 5%.
RHB Research berkata, KPG juga mempunyai buku tempahan tertunggak bernilai kira-kira RM5 bilion, yang memberikan keterlihatan pendapatan untuk beberapa tahun akan datang.
Syarikat pembinaan itu baru-baru ini memperoleh kontrak bernilai RM223 juta daripada Sunway Majestic, usaha sama antara Sunway Property dan Majestic Gen, bagi pembinaan 1,012 unit pejabat kecil/pejabat kediaman (SOHO) yang merangkumi dua bangunan di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru.
Kontrak berkenaan merupakan kontrak ke-10 yang diperoleh KPG bagi FY26 dan kontrak ketiga berkaitan Majestic Gen di Johor Bahru. Margin bersih kontrak tersebut dianggarkan antara 8% hingga 10%.
Unjuran Pendapatan Dinaikkan
Kejayaan memperoleh kontrak berulang daripada Majestic Gen turut menunjukkan keupayaan KPG mendapatkan projek daripada pelanggan luar, selain kontrak daripada pihak berkaitan.
Selain kontrak daripada Majestic Gen, KPG telah memperoleh enam projek lain di Johor bernilai lebih RM1.3 bilion.
Berikutan pelarasan terhadap anggaran penggantian kontrak, unjuran pendapatan FY26F hingga FY28F masing-masing dinaikkan sebanyak 2%, 3% dan 4%. - DagangNews.com




