Kerjaya Prospek raih kontrak RM223 juta bina SOHO, projek ketiga di Johor Bahru

12 Aug 2026 • 12:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerjaya Prospek raih kontrak RM223 juta bina SOHO, projek ketiga di Johor Bahru Image from: Kerjaya Prospek raih kontrak RM223 juta bina SOHO, projek ketiga di Johor Bahru hamden12/08/2026 - 12:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kerjaya Prospek Group Bhd mengukuhkan kedudukannya di Johor Bahru selepas meraih kontrak bernilai RM223 juta daripada Sunway Majestic Sdn Bhd bagi kerja pembinaan dan penyiapan bangunan utama pembangunan pejabat kecil dan rumah pejabat (SOHO).

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd dan menjadi kontrak baharu kesembilan Kumpulan pada 2026, sekali gus meningkatkan nilai kontrak baharu tahun ini kepada RM2.4 bilion.

 

Jumlah itu sudah melepasi sasaran awal Kerjaya Prospek sebanyak RM2 bilion bagi 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya, Tee Eng Tiong, berkata kontrak terbaharu itu mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan di wilayah selatan, khususnya pusat bandar Johor Bahru yang dijangka mendapat manfaat daripada pembangunan Sistem Transit Rapid (RTS).

 

"Kami berbesar hati memperoleh satu lagi kontrak baharu yang terus mengembangkan kehadiran kami di wilayah selatan, khususnya di pusat bandar Johor Bahru yang dijangka mendapat manfaat daripada RTS yang akan datang.

 

"Kami menghargai kepercayaan dan keyakinan Sunway Majestic terhadap Kerjaya dan berharap dapat menyumbang kepakaran serta keupayaan pembinaan kami bagi memastikan pembangunan ini berjaya disiapkan," katanya dalam kenyataan.

 

Projek ketiga di Johor Bahru sejak 2025

Kontrak tersebut membabitkan pembangunan 1,012 unit SOHO di dua bangunan setinggi 34 tingkat, selain podium tempat letak kereta 10 tingkat, dua tingkat ruang komersial mezanin dan kemudahan lain di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru.

 

Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 1 September 2026 dan disasarkan siap dalam tempoh 32 bulan.

 

Tee berkata, kontrak itu merupakan projek ketiga Kerjaya di Johor Bahru sejak 2025, mencerminkan keupayaan kumpulan untuk merebut peluang dalam koridor pertumbuhan strategik tersebut.

 

"Jumlah kontrak baharu setakat tahun ini bagi FY2026 telah mencapai RM2.4 bilion, jauh melebihi sasaran awal RM2 bilion bagi tahun ini.

 

"Bersama jumlah buku tempahan tertunggak sebanyak RM5 bilion, ia memberikan kami keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tahun-tahun akan datang," katanya.

 

Kontrak itu juga dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2026 hingga 2029. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved