
BOGOTA: Gempa bumi kuat melanda Colombia dan beberapa negara Amerika Latin lain pada Isnin, menyebabkan kerosakan serta kecederaan yang belum diketahui jumlahnya selain memaksa bangunan di Bogota dikosongkan.
Perkhidmatan geologi Colombia menganggarkan gempa itu berukuran 6.6 magnitud, manakala badan kajian geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkannya pada 7.4 magnitud, dengan pusat gempa pada kedalaman 100 kilometer (62 di bahagian barat negara itu.
Gegaran turut dirasai di Ecuador dan sejauh Panama di utara, selain menyebabkan bangunan di Bogota dikosongkan, menurut pemerhatian wartawan AFP.
Gabenor wilayah Choco, Colombia, dalam hantaran di platform X berkata, terdapat mangsa yang cedera dan kerosakan serius pada bangunan di ibu negeri itu, Quibdo.
Datuk Bandar Cali, bandar ketiga terbesar Colombia, turut melaporkan kerosakan besar.
Saluran berita menyiarkan rakaman beberapa bangunan yang sebahagian fasadnya runtuh atau tercabut akibat gempa tersebut.
Di Bogota, beberapa penduduk bergegas keluar ke jalan dalam keadaan masih memakai pakaian tidur ketika siren kecemasan berbunyi, menurut pemerhatian wartawan AFP.
Dua gempa bumi yang melanda Venezuela pada 24 Jun, masing-masing berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud, mengorbankan lebih 6,000 orang serta menyebabkan kerosakan harta benda yang amat dahsyat. – AFP
The post Kerosakan besar akibat gempa bumi kuat di Colombia appeared first on Utusan Malaysia.




