
KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung kes Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang didakwa mengasari dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, rujukan itu dibuat untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 6 Oktober untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya, selaras dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sebelum ini menerima dua laporan polis daripada anggota pasukan itu berhubung dakwaan mereka dikasari secara fizikal dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Katanya, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, seramai 25 saksi sudah dirakam percakapan, termasuk pegawai dan anggota PDRM, pegawai AKPS, anggota Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas,” ujarnya.
Mohd. Khalid berkata, PDRM turut memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus, profesional dan tanpa memihak berdasarkan keterangan saksi serta bukti yang diperoleh.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan perundangan yang sedang berjalan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain, dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Susulan penularan video berkenaan, Mohd Shuhaily tampil memberikan penjelasan bahawa kejadian berlaku ketika beliau bersama pasukan menjalankan pemeriksaan kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA sempena acara Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Beliau dilaporkam berkata, pemeriksaan itu turut disusuli operasi penguatkuasaan terhadap individu warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan ‘ulat’.
Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily berkata, beliau menyerahkan kepada kerajaan berhubung apa juga keputusan susulan insiden berkenaan.- KOSMO! ONLINE
The post Kertas siasatan kes Mohd. Shuhaily dirujuk AGC esok – KPN appeared first on Kosmo Online.





