
PETALING JAYA: Sel Jururunding Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan sesuatu krisis secara aman termasuk melalui proses rundingan bagi mengelakkan pertumpahan darah atau kehilangan nyawa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, sel berkenaan kini mempunyai kira-kira 40 pegawai daripada pelbagai jabatan yang dikenal pasti berdasarkan pengalaman dan keupayaan masing-masing.
Katanya, buku panduan turut diperkenalkan sebagai rujukan kepada pegawai dalam melaksanakan tugas rundingan ketika berdepan situasi krisis.
“Yang paling penting bila Sel Jururunding ini diwujudkan kita cuba menurunkan atau mengadakan perbincangan secara aman tanpa tidak berlaku pertumpahan darah ataupun kematian dan sebagainya.
“Jururunding ni begitu penting dan banyak kita belajar daripada negara-negara barat dan juga negara-negara luar bagaimana mereka dapat menyelesaikan permasalahan seperti penculikan, jenayah lain yang terancang dan sebagainya,” katanya dalam sidang akbar selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Jururunding PDRM di Bukit Aman, hari ini.
Mohd Khalid berkata, Sel Jururunding di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga untuk digerakkan sekiranya berlaku sesuatu krisis atau kejadian yang memerlukan kepakaran rundingan.
“Jika ada berlaku krisis seperti penculikan dan sebagainya kita memerlukan nasihat dan juga pandangan untuk menjalankan negosiasi di antara pihak-pihak yang berkaitan
“Jadi, kita akan panggil pegawai-pegawai yang berkenaan untuk melaksanakan perundingan tersebut,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Khalid berkata, buku panduan yang dilancarkan hari ini berfungsi sebagai garis panduan dan senarai semak bagi membantu pegawai memastikan tatacara yang perlu dipatuhi ketika melaksanakan tugas perundingan.
“Jadi dengan adanya panduan ini ada checklist untuk pegawai-pegawai tersebut memastikan apakah prosedur operasi standard yang perlu diikuti dalam menjalankan perundingan itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah KDNKA, Bukit Aman yang juga Komandan Sel Jururunding, Datuk M.V Srikumar Nair berkata, tiada tempoh masa tindak balas standard ditetapkan bagi setiap kes kerana tempoh berkenaan bergantung kepada keadaan dan keunikan sesuatu insiden.
“Setiap kes ada keunikan. Ada kes yang kita dapat maklumat cepat dan ada kes yang akan mengambil masa. Jadi, tiada masa respon standard untuk itu,” katanya.
Beliau berkata, bagi kes tebusan, tindakan awal biasanya melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum sumber masalah dikenal pasti dan pegawai perunding digerakkan mengikut keperluan.
“Jadi, tiada SOP yang ditetapkan. Seperti masa respon 15 minit. Tidak macam itu. Dalam kes berlainan, lain waktu respon,” katanya. – UTUSAN
The post Sel Jururunding penting selesai krisis tanpa pertumpahan darah, kehilangan nyawa appeared first on Utusan Malaysia.






