Kertas siasatan tiga sekeluarga dirempuh lori Imigresen dirujuk ke AGC esok

19 Aug 2026 • 8:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kertas siasatan tiga sekeluarga dirempuh lori Imigresen dirujuk ke AGC esok

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kemalangan maut membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Proton Saga yang mengorbankan tiga pejalan kaki akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) Putrajaya esok bagi tujuan pertuduhan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan meneliti kertas siasatan berkenaan hari ini.

Menurutnya, ia hasil perbincangan dibuat dengan pihak pendakwaan pada 2.45 petang tadi.

“Selepas meneliti kertas siasatan, pihak pendakwaan mencadangkan supaya kertas siasatan dirujuk kepada Ketua Unit Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Jabatan Peguam Negara Putrajaya.

“Kertas siasatan itu akan dibawa sendiri oleh Pendakwa Raya Negeri bersama pegawai penyiasat pada 8 pagi esok bagi tujuan sebarang pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu lori Imigresen dan Proton Saga turut direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, permohonan reman terhadap kedua-dua pemandu dibuat hari ini namun hanya tempoh sehari dibenarkan.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi semalam, tiga daripada empat pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah lori Imigresen di Jalan Sultan Ismail, di sini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlim, 25 dan Siti Darwisyah Auni, 12,

Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, yang turut menjadi mangsa dalam kejadian itu kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan difahamkan dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.- UTUSAN

The post Kertas siasatan tiga sekeluarga dirempuh lori Imigresen dirujuk ke AGC esok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved