Kerugian bersih PLS Plantations melebar kepada RM31.9 juta dalam 4QFY23
diyana
29/08/2023 - 16:01
KUALA LUMPUR 29 Ogos – Kerugian bersih PLS Plantations Bhd melebar kepada RM31.9 juta dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) daripada RM417,000 dalam tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan kumpulan pada suku berakhir 30 Jun 2023 itu turut merosot 51% kepada RM21.8 juta daripada RM44.8 juta tahun lalu, manakala kerugian sesahamnya melebar kepada 7.69 sen berbanding 0.1 sen sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata secara perbandingan, hasil dan pendapatan segmen kelapa sawit lebih rendah pada suku dalam tinjauan disebabkan harga minyak sawit mentah lebih lemah, penurunan hasil ladang kelapa sawit dan peningkatan kos operasi melibatkan bekalan buruh.
Di samping itu, katanya, ladang durian dan pertanian kontrak mengalami musim pengeluaran yang lembap akibat penurunan kualiti tanaman.
Jualan produk durian daripada aktiviti hiliran juga agak rendah disebabkan kadar dagangan yang perlahan oleh pelanggan dari luar negara.
Selain itu, kumpulan itu berkata kemerosotan nilai inventori berjumlah sekitar RM26 juta, terutamanya disebabkan pengambilalihan anak syarikat, iaitu Dulai Fruit Enterprise Sdn Bhd (RM16.8 juta); penghutang dagangan (RM3.9 juta); inventori (RM3.3 juta) dan loji pembawa (RM1.8 juta) juga menjejaskan prestasi suku semasa.
Secara keseluruhan, bagi tahun kewangan 2023 (FY23), PLS Plantations mencatat kerugian bersih RM32.68 juta berbanding keuntungan bersih RM27.3 juta tahun lalu, dengan pendapatannya berjumlah RM118 juta, menurun 35.7% daripada RM184 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLS Plantations, Lee Hun Kheng berkata strategi jualan langsung kumpulan ke China tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan akibat kesan riak pandemik COVID, justeru ia menyasarkan untuk memperhalusi pendekatannya terhadap pasaran China.
“Kumpulan kini terlibat dalam perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk meningkatkan aksesnya kepada pasaran China.
“Matlamat kerjasama ini adalah untuk menyelaraskan minat dan memupuk pertumbuhan mampan untuk PLS Plantations, membolehkan kumpulan mengekalkan kepakaran terasnya dalam penanaman, penyumberan dan pemprosesan hiliran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. - DagangNews.com


