Untung bersih TH Plantations merosot 45.6% kepada RM5.31 juta pada 2QFY23
diyana
29/08/2023 - 15:11
KUALA LUMPUR 29 Ogos - TH Plantations Bhd menyaksikan keuntungan bersihnya menjunam 45.6% kepada RM5.31 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding RM9.76 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu melaporkan pendapatan pada suku berakhir 30 Jun 2023 itu berjumlah RM172.5 juta, jatuh 31% daripada RM250 juta tahun lalu.
Di samping itu, pendapatan sesaham (EPS) kumpulan itu jatuh kepada 0.09 sen daripada 1.10 sen untuk 2QFY22.
Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM16.8 juta, menurun 46% daripada RM31.35 juta tahun lalu, sementara pendapatan kumpulan merosot 28.9% kepada RM318.9 juta berbanding RM448.6 juta sebelumnya.
Dalam kenyataan medianya hari ini, TH Plantations menjelaskan bahawa penurunan pendapatan tersebut disebabkan terutamanya oleh kemerosotan purata harga realisasi bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit, yang masing-masing jatuh 30.1% dan 50.8% dalam tempoh yang sama, walaupun kedua-duanya mencatatkan peningkatan dalam pengeluaran dan volum jualan.
Secara positifnya, pengeluaran dan pemprosesan buah tandan segar (BTS) kumpulan pada suku dalam tinjauan masing-masing meningkat 7.1% dan 10.1%.
Pada masa yang sama, pengeluaran dan volum jualan MSM kumpulan meningkat 8.8% dan 10.4%. Begitu juga, pengeluaran dan volum jualan isirung sawit menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 13.7% dan 17.6% berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata dari segi operasi, kumpulan itu terus meningkatkan jumlah pengeluaran dan jualan, di samping mengembangkan usaha strategiknya, Program Perkongsian bersama Pekebun Kecil Bumiputera, untuk mendapatkan hasil tanaman dan meningkatkan kapasiti kilang.

“Program mekanisasi kami telah meningkatkan masa pusing ganti penuaian, meningkatkan kebolehcapaian dan liputan kawasan.
“Melangkah ke hadapan, kami akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan kos yang berkesan dan inisiatif kemampanan bagi mempertingkatkan kecekapan keseluruhan operasi,” ujar beliau.
Mohamed Zainurin berkata kumpulan itu menjangkakan harga minyak sawit kekal disokong pada separuh kedua tahun ini, walaupun sentimen ramalan ekonomi lebih lemah akibat ketegangan politik, tekanan inflasi daripada harga makanan dan tenaga yang tinggi serta keadaan cuaca tidak menentu yang dijangka menjejaskan bekalan dan permintaan.
“TH Plantation optimis dan terus menumpukan perhatian kepada strateginya yang mantap untuk mengurangkan cabaran operasi. Tanpa sebarang keadaan yang tidak diduga, kumpulan menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan untuk tahun kewangan 2023,” katanya. - DagangNews.com
