Untung bersih RHB Bank melonjak 28% kepada RM808.7 juta bagi 2QFY23

Business & Finance
29 Aug 2023 • 4:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih RHB Bank melonjak 28% kepada RM808.7 juta bagi 2QFY23

azan

29/08/2023 - 16:17

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Untung bersih RHB Bank Berhad meningkat 28% kepada RM808.7 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM630.07 juta setahun lalu didorong elaun yang lebih tinggi untuk kerugian kredit yang dihapuskira dan sebahagiannya diimbangi pembiayaan bersih yang lebih rendah.

Hasil suku tahunan melonjak 37.2% kepada RM4.05 bilion daripada RM2.95 bilion pada 2QFY22.

Bagi separuh pertama FY23 (1HFY23), untung bersih bank itu meningkat 29.5% kepada RM1.57 bilion berbanding RM1.21 bilion setahun lalu, didorong oleh peningkatan dalam pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi dan elaun yang lebih tinggi untuk kerugian kredit dihapuskira.

Bagaimanpun, ia diimbangi dengan pendapatan pembiayaan bersih yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

Hasil bagi tempoh tersebut melonjak 38.3% kepada RM7.97 bilion daripada RM5.76 bilion pada 1HFY22.

Pendapatan bukan dananya meningkat sebanyak 46.3% kepada RM1.06 bilion, disumbangkan oleh pendapatan dagangan dan pelaburan bersih yang lebih tinggi serta keuntungan bersih yang lebih tinggi daripada pertukaran asing dan derivatif.

Sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan anak syarikat setahun lalu dan pendapatan yuran pasaran modal dan pengurusan kekayaan yang lebih rendah, pendapatan pembrokeran dan pendapatan bersih daripada perniagaan insurans.

Perbelanjaan mengurus meningkat 6.5% tahun ke tahun kepada RM1.8 bilion, dan nisbah kos kepada pendapatannya berada pada 47.5% berbanding 44.9% setahun lalu.

Elaun bersih untuk kerugian kredit yang dikembalikan ialah RM85.5 juta, berbanding caj RM192.4 juta setahun lalu.

Jumlah aset kumpulan meningkat 1.8% dari Disember 2022 kepada RM316.2 bilion pada 30 Jun 2023.

Pinjaman dan pembiayaan kasarnya meningkat 4.5% tahun ke tahun kepada RM214.2 bilion, disokong terutamanya oleh pertumbuhan gadai janji, kewangan kereta, perusahaan kecil dan sederhana, dan Singapura.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB, Mohd. Rashid Mohamad, berkata kumpulan terus memberikan prestasi kewangan yang mampan untuk separuh pertama 2023 walaupun dalam persekitaran ekonomi dan perniagaan yang mencabar.

"Asas-asas kami kekal kukuh, dan kami akan terus kekal fokus pada strategi korporat 'Together We Progress 2024' (TWP24), yang kini dalam tahun kedua pelaksanaannya.

"Kumpulan akan terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin kos, serta mempercepatkan usahanya dalam menguruskan kualiti aset bagi mengekalkan daya tahan dan meningkatkan kecemerlangan operasi," katanya. - DagangNews.com