
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sebelum ini, tiga orang lelaki telah ditahan selepas pihak berkuasa menjumpai bangkai seekor harimau belang dalam sebuah kereta Perodua Alza di Felda Tenggaroh, Johor pada 16 September lalu.
Bangkai harimau atau dikenali sebagai spesies Pantera Tigris Jackson berkenaan dipercayai telah diburu secara haram.
Selain itu, harimau berkenaan juga dipercayai untuk diperdagangkan dalam pasaran gelap. Nilai bangkai haiwan itu dianggarkan sekitar RM250,000 hingga RM300,00, lapor Buletin TV3.
Tiga lelaki yang ditahan turut didapati gagal mengemukakan sebarang permit khas untuk memiliki atau menyimpan spesies haiwan yang dilindungi itu.
Tiga lelaki mengaku bersalah simpan harimau belang betina yang sudah mati
Terbaharu, tiga lelaki berkenaan mengaku bersalah di Mahkmah Sesyen Kota Tinggi terhadap pertuduhan menyimpan bangkai harimau belang betina berkenaan.
Tertuduh yang dikenali sebagai Md Shaheezam Md Salim, 49, Nazerin Tamiran, 47 serta adiknya Mohamad Nazrol, 28, mengaku bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Mengikut kertas pertuduhan ketiga-tiga yang dituduh secara bersama-sama telah menyimpan seekor harimau betina yang sudah mati di bahagian bonet kereta. Haiwan tersebut merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya mengikut Jadual Kesepuluh, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] tanpa suatu permit khas.
Sekiranya sabit kesalahan individu boleh dihukum dengan denda maksimum RM250,000 untuk setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu dan dipenjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun.
Prosiding pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hanum Abdul Hadi dan Anonggrakh Wechit. Manakala ketiga-tiga yang dituduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam, lapor Kosmo.
Tiga tertuduh mohon denda dan hukuman yang ringan, hidap penyakit kronik
Md Shaheezam memohon denda serta hukuman penjara paling ringan. Tertuduh difahamkan menghidap kanser hati tahap 4 serta bekerja di ladang dengan pendapatan RM1,800.
Manakala dua lagi adik beradik tersebut yang menghidap sakit buah pinggang serta bekerja sebagai jurukimpal juga meminta hukuman ringan diberikan.
Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM250,000 setiap seorang. Jika gagal membuat pembayaran, penjara tujuh tahun dan juga hukuman penjara tujuh tahun dari tarikh sabitan.
Source:



