Pelajar IKBN Miri Nafi Jadi Mangsa Buli, Maklum Hanya Gurauan Sempena Hari Jadi – Polis

LocalPolitics
23 Sep 2025 • 4:11 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Semalam (22 September), kecoh di media sosial sebuah video yang memaparkan tindakan tidak bertanggungjawab sekumpulan pelajar lelaki terhadap rakannya.

Menerusi video tular, kelihatan empat orang pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak telah memegang seorang pemuda sebelum celah kelangkang mangsa dihentakkan pada tiang sebanyak empat kali.

Video tersebut nyata mendapat perhatian ramai termasuklah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa agar polis segera mengambil tindakan terhadap kumpulan pelajar tersebut.

Malah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan turut mendedahkan siasatan menyeluruh telah dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap si pelaku.

Pelajar IKBN Miri Nafi Dirinya Dibuli, Gurauan Sempena Hari Lahir

Terbaharu, polis memaklumkan seorang pelajar IKBN Miri yang tular memperlihatkan dia menjadi mangsa kekerasan fizikal menafikan dirinya dibuli.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, pelajar berkenaan bersama ibu bapanya telah hadir ke balai polis dan menjelaskan insiden tersebut hanyalah gurauan bersama rakan-rakan jurusan Automotif sempena hari lahirnya pada 19 September lalu.

Jelasnya, perbuatan itu dilakukan tanpa ada unsur paksaan atau penderaan.

“Sehubungan itu, polis telah memanggil pegawai institut berkenaan, ibu bapa serta semua pelajar berumur dalam lingkungan 18 tahun hingga 24 tahun yang terbabit dalam rakaman video itu untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan dan mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Polis akan terus memantau perkembangan kes ini, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya muncul laporan atau bukti baharu yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah buli,” katanya.

IKBN Miri Akan Mengambil Tindakan Tegas Terhadap Semua Pelajar terlibat

Tambah Mohd Farhan, pihak IKBN Miri juga telah membuat siasatan awal dan mengesahkan insiden berlaku dalam kawasan kampus itu adalah gurauan keterlaluan dan bukan kejadian buli.

Malah, institut di bawah KBS itu memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pelajar terbabit dan kini masih dalam siasatan kementerian yang terlibat.

Pada masa yang sama, Mohd Farhan meminta kerjasama orang ramai agar tidak menularkan rakaman tersebut yang boleh menimbulkan kegusaran orang awam.

Sebaliknya, beliau meminta agar orang ramai menyalurkan maklumat yang relevan kepada polis untuk tindakan sewajarnya.

Baca Artikel Berkaitan:

Source: