Kes bayi maut: Dua pekerja pusat jagaan kanak-kanak direman

LocalFamily & Parenting
10 Mar 2026 • 11:09 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dua pekerja sebuah pusat jagaan kanak-kanak direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan.
image is not available
Perintah reman terhadap kedua-dua wanita berusia 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah selepas permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Selasa.

BUKIT MERTAJAM – Dua pekerja sebuah pusat jagaan kanak-kanak direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah pusat jagaan 24 jam di kawasan Hospital Seberang Jaya pada Isnin.

Perintah reman terhadap kedua-dua wanita berusia 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah selepas permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Selasa.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.35 pagi dengan menaiki van polis.

**media[3458368]**

Mereka yang berpakaian lokap berwarna ungu dan bergari dilihat cuba menutup wajah masing-masing menggunakan tangan bagi mengelakkan dirakam media.

Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut kes bunuh susulan kematian bayi lelaki tersebut.

Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez ditemukan tidak sedarkan diri di pusat jagaan bayi 24 jam yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya pada awal pagi Isnin.

Bayi itu kemudian dikejarkan ke jabatan kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 4 pagi selepas ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30 yang juga jururawat bertugas syif malam menerima panggilan memaklumkan wajah anaknya bertukar kebiruan.

Pasukan perubatan dilaporkan menjalankan prosedur resusitasi kardiopulmonari selama kira-kira sejam bagi menyelamatkan mangsa namun bayi tersebut gagal diselamatkan.

Difahamkan, bayi berkenaan baru sahaja dihantar ke pusat jagaan itu selepas ibunya kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang.

Mangsa juga merupakan anak sulung pasangan berkenaan.

Sementara itu, keluarga bayi terbabit menuntut keadilan atas kematian kanak-kanak tersebut.

Bapanya, Mohd Syafaeez Mat Liki, 35 menegaskan bahawa dia tidak akan memaafkan individu yang bertanggungjawab terhadap kematian anaknya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved