
PETALING JAYA: Kertas siasatan (IP) berhubung laporan polis dibuat seorang ahli perniagaan terhadap seorang pempengaruh media sosial berhubung dakwaan kebocoran dokumen rasmi kini dalam semakan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Selangor.
Peguam, Muniandy Vestanathan yang mewakili ahli perniagaan berkenaan berkata, pihaknya menerima surat daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Zulkarnain Samsudin bertarikh 28 Ogos 2026 berhubung perkembangan siasatan itu.
“Surat itu menyatakan IP telah dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor pada 28 Julai 2026 untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut, dan kini masih dalam semakan perundangan oleh pejabat berkenaan.
“Surat itu turut menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian),” katanya.
Menurutnya, anak guamnya membuat laporan polis pada 3 September tahun lalu dan pihaknya kini mahu mendapatkan perkembangan terkini mengenai status siasatan berkenaan.
“Justeru, kami kini meminta perkembangan terkini mengenai status kes serta sama ada terdapat sebarang arahan lanjut daripada Pejabat TPR,” katanya.
Ahli perniagaan berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 3 September tahun lalu terhadap seorang pempengaruh berhubung dakwaan kebocoran dokumen rasmi.
Perbicaraan kes sivil berkenaan dijadual bermula pada Februari 2027 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.-UTUSAN
The post Kes bocor dokumen rasmi libatkan pempengaruh di rujuk TPR appeared first on Utusan Malaysia.






