
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sekitar tiga tahun lalu, negara dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam melibatkan seorang wanita hamil.
Dalam insiden tragis itu, mangsa, Nur Anisah Abdul Wahab dipercayai ditikam dan ditoreh sebelum dibakar di Jalan Sungai Limau, Sabak Bernam, Selangor.
Polis kemudiannya menahan seorang lelaki dan tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil itu.
Mahkamah Tinggi Klang kemudiannya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Muhammad Fakrul Aiman selepas dia mengekalkan pengakuan bersalahnya pada 15 Oktober tahun lalu.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Bunuh & Bakar Teman Wanita Gara-Gara Berang Niat Sembunyi Kehamilan Ditolak
Hukuman Gantung Sampai Mati Diganti Dengan Penjara 40 Tahun & 12 Sebatan, Ambil Kira Umur Perayu Ketika Kejadian
Terbaharu, Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini (14 Mei) menggantikan hukuman gantung sampai mati terhadap Muhammad Fakrul Aiman dengan penjara 40 tahun dan 12 kali sebatan atas kesalahan tersebut.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun.
Ketiga-tiga mereka sebulat suara memerintahkan bekas penuntut universiti yang berusia 22 tahun itu menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 23 Mei 2023.
“Mengambil kira umur muda perayu sewaktu kejadian, terdapatnya pilihan dalam Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, mahkamah dengan ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman pemenjaraan 40 tahun dari tarikh tangkap dan 12 kali sebatan,” kata Azman.
Peguam Wakili Tertuduh Dakwa Hakim Mahkamah Tinggi Terkhilaf Jatuhkan Hukuman
Lapor Harian Metro, peguam, Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Klang terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman yang terlalu berat terhadap perayu yang pada ketika itu berusia 20 tahun.
“Mahkamah Tinggi telah pun menjatuhkan hukuman gantung di leher sehingga mati setelah perayu membuat pengakuan bersalah, sebelum perbicaraan bermula.
“Di dalam rayuan ini, hanya terdapat satu isu sahaja iaitu sama ada hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di Klang adalah satu hukuman yang terlalu berat,” katanya.
Timbalan Pendakwaraya Berpendapat Hukuman Mahkamah Tinggi Adalah Adil
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob pula berpendapat sebaliknya.
Abdul Malik dalam hujahnya menjelaskan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Klang adalah sesuai dan adil bagi kekejaman jenayah yang dilakukan.
“Kami berhujah sebagaimana dinyatakan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa Seksyen 293 (Kanun Tatacara Jenayah) tidak terpakai dalam kes ini kerana seksyen terbabit memperuntukkan bagi kesalahan yang dilakukan oleh pesalah yang melibatkan hukuman denda atau pemenjaraan, manakala dalam kes ini, hukuman yang boleh dijatuhkan adalah hukuman mati,” katanya.
Berdasarkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki yang berusia di bawah 50 tahun berdepan dengan hukuman sebatan minimum sebanyak 12 kali.
Hakim Mahkamah Tinggi Sifatkan Perbuatan Sebagai ‘Kejam’ & Menjurus Kepada Jenayah Terancang
Pada 15 Oktober 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Klang, Norazlin Othman menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Muhammad Fakrul Aiman selepas dia mengekalkan keputusan bersalahnya.
Jelas Norazlin dalam penghakimannya, mahkamah berpuas hati dengan pengakuan yang dibuat oleh tertuduh tanpa syarat dan mengakui fakta kes serta eksibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah benar.
Tambahnya, setelah mengambil kira keseriusan perbuatan yang disifatkan ‘kejam’ dan hakikat bahawa kes itu menjurus kepada jenayah terancang, ia memerlukan hukuman berat jika dibandingkan dengan jenayah yang bersifat spontan.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi, 23 Mei 2023.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Bunuh & Bakar Teman Wanita Gara-Gara Berang Niat Sembunyi Kehamilan Ditolak
Baca Artikel Berkaitan: Mahu Hapus Bukti Kehamilan, Pemuda 20 Tahun Tergamak Bunuh & Bakar Teman Wanita
Baca Artikel Berkaitan: “Kami Belum Bertunang” – Teman Wanita Suspek Bunuh Wanita Hamil Buka Mulut, Puji Kekasih ‘Lelaki Baik’






