Kes Bunuh Di Pekan Nanas: Polis Tahan 6 Lelaki, 1 Masih Diburu

Local
23 May 2026 • 9:09 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kes Bunuh Di Pekan Nanas: Polis Tahan 6 Lelaki, 1 Masih Diburu

KUALA LUMPUR - Polis menahan enam lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki muda di luar sebuah premis makanan di Pekan Nanas, Johor, dalam satu operasi khas yang dijalankan kurang 24 jam selepas kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi Khamis lalu, mangsa dipercayai diserang sekumpulan individu sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Pontian, ACP Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, tangkapan dibuat menerusi operasi bersepadu melibatkan Pasukan Petugas Jenayah Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Menurut beliau, polis melancarkan serbuan di dua lokasi berasingan, iaitu di Taman Botani, Batu Pahat dan kawasan Pangsapuri Awam Lima Kedai di Gelang Patah, bagi mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Hasil serbuan berjaya membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 22 tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Hadzrat berkata, polis turut merampas dua kenderaan dipercayai digunakan dalam kejadian itu, iaitu sebuah Nissan Navara dan Toyota Estima. 

“Selain itu, polis turut menyita sebilah parang, lima topeng muka berwarna hitam serta sebuah telefon bimbit jenis iPhone,” katanya. 

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM120,000.

Menurut Hadzrat, semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil soal siasat mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam kejadian yang menyebabkan kematian mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif pembunuhan tersebut, selain giat memburu seorang lagi suspek yang dipercayai masih bebas.

Kejadian itu turut mengejutkan penduduk Pekan Nanas yang sebelum ini dikenali sebagai kawasan yang aman dan tenang. 

Polis bagaimanapun tidak menolak kemungkinan wujud kaitan dengan aktiviti jenayah atau kumpulan kongsi gelap susulan beberapa suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kesalahan berkaitan narkotik. - Getaran, 23 Mei 2026

View Original Article