
JOHOR BAHRU - Kertas siasatan kes pembunuhan pelajar perempuan berusia 16 tahun, Irene Sofiya Khairool Faisal, telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Johor pada 9 Oktober lalu untuk penelitian lanjut.
Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, pihak pendakwaan masih meneliti kes berkenaan dan polis sedang menunggu arahan selanjutnya.
“Pengarah Pendakwaan Johor masih di peringkat penelitian dan perlu mempertimbangkan kes ini dengan teliti.
“Kami masih menunggu arahan selanjutnya, manakala suspek kini direman sehingga Jumaat,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.
Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, kira-kira jam 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan pada 4 Oktober lalu bagi membantu siasatan dan pada awalnya direman selama enam hari.
Tempoh reman suspek kemudian dilanjutkan selama enam hari lagi sehingga 15 Oktober ini. - Getaran, 13 Oktober 2026





