
Satu lagi kes pembunuhan menggemparkan Lembah Klang semalam apabila seorang wanita yang juga penyanyi tempatan dilaporkan telah maut ditikam seorang lelaki di Klang.
Menurut Berita Harian, suspek dikatakan sempat makan tengah hari dengan mangsa sebelum menikamnya beberapa kali menggunakan pisau di kawasan parkir sebuah restoran dekat Jalan Bayu Tinggi 5.

Lelaki yang berusia 44 tahun itu kemudian memasukkan mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah ke dalam kereta, sebelum memandu pulang ke rumahnya di Jalan Sungai Nibong 5, Kapar.
Apabila menyedari mangsa tidak lagi bernyawa, suspek pula bertindak menikam badannya sendiri sebelum ditahan polis.
Artikel berkaitan: Kes Bunuh Wanita Hamil Di Sungai Besar, Rayuan Tertuduh Dirujuk Ke Psikiatri Ditolak
Orang awam sempat rakam kejadian semasa lapor polis
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata yang pihaknya menerima maklumat mengenai kes itu menerusi orang awam yang melaporkan seorang wanita ditikam seorang lelaki di tempat kejadian.
Malah tular juga video orang awam yang dilihat merakam perbuatan itu dari tingkat atas rumahnya ketika sedang membuat laporan polis menerusi telefon.

Menurut fakta kes, kejadian tersebut difahamkan berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari ketika mangsa, 26, berjumpa dengan suspek di restoran sebelum ditikam berdekatan kenderaan selepas mereka selesai makan tengah hari.
Suspek ditahan jam 4.20 petang oleh sepasukan polis dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, sebelum pemeriksaan lanjut menemukan wanita berkenaan tidak sedarkan diri di tempat duduk penumpang hadapan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” kata polis.
Dalam itu, polis juga telah menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dan hasil bedah siasat juga mendapati banyak kesan tikaman ditemui pada bahagian depan dan belakang badan mangsa.
Seorang wanita tempatan usia 26 ditemui maut ditikam dalam sebuah kenderaan di Klang, Selangor.
Siasatan awal dapati mangsa berjumpa dengan suspek lelaki tempatan usia 44 tahun di sebuah restoran.
Selesai makan tengahari, suspek ke lokasi parking kereta dan telah menikam… pic.twitter.com/ClEQGIVlsT
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) December 19, 2023
Punca kematian adalah disebabkan kesan tikaman yang menembusi ke jantung.
Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih lagi menyiasat punca sebenar kejadian.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


