Kes Bunuh Rakan Sekolah: Mahkamah Tinggi Bebaskan Suspek

14 Sep 2026 • 4:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kes Bunuh Rakan Sekolah: Mahkamah Tinggi Bebaskan Suspek

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan seorang pelajar lelaki daripada pertuduhan membunuh rakan sekolahnya berusia 16 tahun selepas mahkamah mendapati dia tidak waras dari segi undang-undang ketika kejadian berlaku.

Hakim Adlin Abd Majid turut memerintahkan pelajar berkenaan menjalani rawatan psikiatri susulan keputusan itu yang dibuat selepas selesai mendengar kes pembelaan.

Peguam bela tertuduh, Kitson Fong, berkata mahkamah mendapati anak guamnya tidak berada dalam keadaan fikiran yang waras seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan kerana mengalami skizofrenia ketika kejadian.

“Dalam alasan penghakimannya, hakim menghuraikan sebab dan pertimbangan bagi setiap aspek kes, bermula daripada peringkat pendakwaan sehingga pembelaan dipanggil.

“Keadaan ketidakwarasan dari sudut perubatan telah dibuktikan dan, berdasarkan itu, ketidakwarasan dari segi undang-undang turut berjaya dibuktikan,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Prosiding kes itu dijalankan secara tertutup (in camera) mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

Dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan, termasuk pakar perunding psikiatri forensik, Dr Ian Lloyd Anthony.

Fong berkata keadaan kesihatan mental anak guamnya telah disahkan pakar psikiatri berkenaan menerusi laporan bertulis, selain keterangannya di mahkamah dan ketika pemeriksaan balas.

“Dia sememangnya didiagnosis mengalami skizofrenia yang sangat serius dan agresif ketika kejadian sehingga tertuduh percaya dirinya bukan dirinya sendiri dan mendengar suara yang menyuruhnya melakukan pembunuhan itu.

“Perkara ini tidak dipertikaikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.

Menurut Fong, pelajar itu dijangka menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta sebelum sebarang keputusan mengenai pembebasannya dapat dibuat dengan perkenan Sultan Selangor mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun, katanya, keluarga pelajar terbabit berharap anak mereka dapat meneruskan pendidikan sepanjang menjalani rawatan memandangkan dia dijangka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh dua tahun.

“Keluarga berharap dapat menyediakan buku dan keperluan pembelajaran lain supaya dia boleh meneruskan persekolahan secara pembelajaran di rumah (homeschooling), dan seterusnya diberikan pengampunan,” katanya.

Pada 13 Ogos lalu, mahkamah memerintahkan pelajar itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie berdasarkan keterangan 11 saksi.

Pelajar berkenaan sebelum ini mengaku tidak bersalah pada Februari lalu atas pertuduhan membunuh rakan sekolahnya di SMK Bandar Utama Damansara 4, Bandar Utama, Petaling Jaya, antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, kanak-kanak tidak boleh dijatuhi hukuman mati mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Sebaliknya, Seksyen 97(2) memperuntukkan bahawa kanak-kanak yang disabitkan atas kesalahan yang membawa hukuman mati hendaklah ditahan di penjara atas perkenan Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Pasukan pembelaan diketuai Fong bersama Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei, manakala Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mewakili pihak pendakwaan. - Getaran, 14 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved