Kes culik wanita di Kulai: Polis tahan sembilan lelaki

6 Jun 2024 • 10:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
M Kumar. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Polis menahan sembilan lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes melarikan seorang wanita di Kulai bulan lepas.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, bertindak atas maklumat dan hasil risikan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor dan Bukit Aman telah melakukan tangkapan terhadap suspek yang berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun itu di beberapa lokasi di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor dari 23 hingga 25 Mei lepas.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas sejumlah wang tunai yang dipercayai hasil insiden itu.

"Kesemuanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah, hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis metamfetamina," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Kumar berkata, suspek direman selama 14 hari bermula 24 Mei lepas bagi membantu siasatan dan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam.

Empat lagi dibebaskan dengan bon jaminan untuk menjadi saksi pendakwaan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 16 Mei lepas, seorang wanita berusia 30 tahun dilarikan tiga lelaki bersenjatakan parang ketika berada di rumahnya di Kulai sebelum mangsa dibebaskan di stesen bas sekitar Skudai pada hari yang sama.

Mangsa yang bekerja sendiri bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibebaskan selepas wang tebusan diterima, melibatkan kerugian berjumlah RM111,000. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!