Kes dadah pembantu juruterbang: 6 lagi suspek dicekup PDRM, sempat lari ke luar negara

4 Sep 2026 • 2:05 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Kes dadah pembantu juruterbang: 6 lagi suspek dicekup PDRM, sempat lari ke luar negara

KUALA LUMPUR - Susulan pembongkaran kes penyeludupan dadah bernilai RM45 juta membabitkan seorang pembantu juruterbang warga Malaysia di Jakarta, operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan enam lelaki tempatan disyaki dalang di sebalik rangkaian sindiket antarabangsa berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi serbuan terancang JSJN antara 20 hingga 28 Ogos di beberapa lokasi berasingan.

Operasi pembersihan ini digerakkan sebaik sahaja pasukan penyiasat JSJN menerbangkan pegawainya ke Jakarta pada 11 hingga 15 Ogos lalu bagi menyoal siasat pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu secara bersemuka.

“Siasatan dan risikan mendapati semua suspek itu mempunyai peranan dalam sindiket pengedaran dadah yang membabitkan pembantu juruterbang itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kecekapan risikan PDRM turut menggagalkan percubaan empat daripada suspek berkenaan yang cuba melepaskan diri daripada buruan pihak berkuasa dengan melarikan diri ke luar negara.

“Dua lelaki yang melarikan diri ke Thailand ditahan sewaktu kembali ke negara ini menaiki feri ini di Kuah, Langkawi manakala dua lagi yang ke Vietnam ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya.

Hussein memberitahu, kesemua suspek kini ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 yang membenarkan penahanan reman selama 60 hari bagi membolehkan siasatan lanjut dilengkapkan sebelum sebarang perintah tahanan dikeluarkan.

“Sebahagian hasil siasatan melibatkan enam lelaki itu akan dikongsikan kepada pihak polis Indonesia,” katanya lagi bagi memantapkan proses pendakwaan rentas sempadan.

Sebagai rekod, kes berprofil tinggi ini mula menggemparkan industri penerbangan selepas pembantu juruterbang berkenaan ditahan pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta akibat cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

Pemeriksaan rapi di lapangan terbang berkenaan membawa kepada penemuan 15 bungkusan berisi 70,114 biji kapsul ekstasi serta syabu (methamphetamine) yang dianggarkan bernilai RM45 juta mengikut pasaran semasa di negara jiran itu. - 4 September, 2026

The post Kes dadah pembantu juruterbang: 6 lagi suspek dicekup PDRM, sempat lari ke luar negara appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved