Sindiket dadah pembantu juruterbang tumpas

5 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sindiket dadah pembantu juruterbang tumpas

PETALING JAYA: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah dengan penahanan enam lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembantu juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Indonesia, Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua suspek itu yang ditahan pada 20 hingga 28 Ogos lalu berperanan sebagai pembekal dan penghantar bekalan dadah kepada pembantu juruterbang terbabit.

“Berdasarkan siasatan dan risikan, mereka ini memainkan peranan sebagai orang atasan dan bawahan dalam sindiket pengedaran dadah membabitkan pembantu juruterbang ini.

“Mereka ini merupakan ahli sindiket daripada kumpulan yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Pada 29 Julai lalu, pembantu juruterbang itu ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, pada selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan penerbangan MH727.

Pemeriksaan ke atas bagasinya menemui 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi kira-kira 25kg, selain 4g syabu dalam barang bawaannya yang semuanya dianggarkan berjumlah RM45 juta.

Suspek mendakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah itu ke Jakarta sebelum diambil individu lain dari sebuah hotel.

Menurut Hussein, empat daripada enam suspek itu dikesan melarikan diri ke Thailand dan Vietnam selepas mengetahui pembantu juruterbang terbabit ditahan di negara jiran.

“Dua suspek yang melarikan diri ke Thailand ditahan ketika kembali ke Malaysia dengan menaiki feri di Kuah, Langkawi manakala dua lagi ditahan ketika kembali ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Dua lagi baki suspek ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Klang, Selangor,” jelasnya.

Tambahnya, enam suspek berusia 23 hingga 50 tahun itu ditahan susulan hasil soal siasat ke atas pembantu juruterbang terbabit oleh pegawai JSJN yang dihantar ke Jakarta bulan lalu.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya. – UTUSAN

The post Sindiket dadah pembantu juruterbang tumpas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved