Kes dadah TUDM: Siasat dalang, lumpuhkan seluruh sindiket – penganalisis

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 3:06 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kes dadah TUDM: Siasat dalang, lumpuhkan seluruh sindiket – penganalisis

SHAH ALAM, 27 NOV: Siasatan kes penyeludupan dadah membabitkan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu diperluas bagi mengenal pasti dalang dan rangkaian sindiket yang dipercayai mengeksploitasi aset tentera.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata siasatan tidak seharusnya tertumpu kepada jumlah rampasan dadah dan individu yang ditahan, sebaliknya perlu mengenal pasti pihak yang merancang, membiayai serta mengendalikan kegiatan itu.

“Persoalan paling besar sekarang ialah siapa sebenarnya dalang di sebalik kegiatan ini dan sindiket mana yang menggerakkannya?

“Adakah pegawai yang ditangkap hanya bertindak sebagai orang tengah atau sebahagian daripada rangkaian lebih besar yang mempunyai pengaruh serta kemampuan kewangan untuk mengatur operasi penyeludupan?” katanya dalam kenyataan bertulis kepada Media Selangor.

Terdahulu, tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan mengedar 96.2 kilogram (kg) methamphetamine di Pangkalan TUDM Subang pada 17 November lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Zaki berkata siasatan juga perlu meneliti kemungkinan kebocoran maklumat, kelemahan kawalan keselamatan atau perlindungan daripada pihak tertentu yang membolehkan aset tentera disalahgunakan.

Bagaimanapun, katanya sebarang dakwaan rasuah, salah guna kuasa atau penglibatan pegawai lain perlu dibuktikan melalui siasatan dan bukan berdasarkan andaian.

“Jangan sekadar mengumumkan jumlah rampasan dan bilangan tangkapan kerana tindakan itu belum menjawab persoalan sebenar mengenai siapa yang membiayai, mengatur dan mengawal kegiatan berkenaan.

“Jika hanya beberapa individu ditangkap tetapi dalang utama masih bebas, sindiket berkenaan berkemungkinan terus beroperasi melalui rangkaian lain,” katanya.

Beliau berkata kejayaan siasatan perlu diukur berdasarkan tindakan melumpuhkan keseluruhan sindiket, membawa dalang utama ke muka pengadilan dan memastikan aset pertahanan negara tidak lagi dieksploitasi untuk kegiatan jenayah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved