
PETALING JAYA: Malaysia berdepan peningkatan kes demam denggi dengan sebanyak 58,079 kes dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi Ke-32 Tahun 2026 (ME 32/2026) iaitu meningkat 56.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, ia mengakibatkan 55 kematian akibat komplikasi demam denggi.
Katanya, peningkatan kes pada peringkat awal banyak tertumpu di Lembah Klang khususnya Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Susulan itu, KKM telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan secara intensif dan berfokus termasuk pengesanan awal kes, kawalan vektor, pengurusan wabak serta mobilisasi anggota bagi memperkukuh kapasiti respons di lapangan.
“Tindakan yang dipergiatkan ini mula menunjukkan perkembangan positif di Lembah Klang. Namun, risiko penularan denggi masih tinggi dan situasi di peringkat nasional masih membimbangkan berikutan peningkatan kes yang kini turut dikesan di beberapa negeri lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KKM berkata, peningkatan kes dipengaruhi pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca tidak menentu apabila taburan hujan yang diselang-seli dengan cuaca panas membentuk persekitaran kondusif untuk pembiakan nyamuk Aedes.
Katanya, kewujudan banyak bekas menakung air yang tidak diselenggara di kawasan kediaman dan persekitaran turut menyumbang kepada peningkatan risiko pembiakan dan penularan demam denggi.
“Pencegahan dan kawalan denggi memerlukan pendekatan seluruh masyarakat (whole-of-society), khususnya apabila lebih 70 peratus tempat pembiakan Aedes masih ditemui di kawasan kediaman.
“Kementerian dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, pengurusan premis, komuniti serta setiap individu perlu memainkan peranan dalam memastikan kawasan di bawah tanggungjawab masing-masing bebas daripada tempat pembiakan Aedes,” katanya.
Orang ramai diseru memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes di dalam dan sekitar kediaman.
KKM turut menggesa masyarakat mengambil langkah perlindungan daripada gigitan nyamuk serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera, sekiranya mengalami demam atau tanda-tanda amaran demam denggi.
“KKM akan terus memantau situasi secara rapi dan menyesuaikan intervensi berdasarkan perkembangan epidemiologi semasa.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan usaha pencegahan dan kawalan denggi dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan,” katanya.
Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 25,090 kes sehingga 15 Ogos lalu, meningkat 61 peratus berbanding 15,610 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula merekodkan 10,316 kes, meningkat 106 peratus berbanding 5,013 kes tahun lalu manakala Johor mencatatkan 8,639 kes, naik 109 peratus daripada 4,140 kes.
Perlis merekodkan peningkatan tertinggi daripada segi peratusan iaitu 207 peratus dengan 169 kes berbanding 55 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Selain itu, peningkatan kes turut dicatatkan di Terengganu sebanyak 70 peratus, Sabah (34 peratus), Sarawak (33 peratus), Pahang (11 peratus) dan Kelantan (10 peratus).
Bagaimanapun, tiga negeri merekodkan penurunan kes iaitu Kedah sebanyak 60 peratus, Melaka (36 peratus) dan Pulau Pinang (26 peratus). – UTUSAN
The post Kes demam denggi meningkat 56.2 peratus appeared first on Utusan Malaysia.






