MAHB kendali 4.5 juta penumpang antarabangsa pada Julai

Business & Finance
21 Aug 2026 • 4:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MAHB kendali 4.5 juta penumpang antarabangsa pada Julai

PETALING JAYA: Pergerakan penumpang antarabangsa di rangkaian lapangan terbang tempatan kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) melonjak 9.3 peratus kepada 4.5 juta penumpang pada Julai 2026 berbanding bulan sebelumnya.

Peningkatan itu didorong oleh musim cuti musim panas di Eropah, Asia Barat dan sebahagian wilayah Asia, sekali gus mengukuhkan pergerakan keseluruhan penumpang tempatan kepada 8.0 juta orang iaitu peningkatan 4.6 peratus berbanding Jun 2026.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, trafik antarabangsa terus memberikan imbangan positif kepada pergerakan domestik yang menyaksikan penurunan berikutan penyelarasan kapasiti oleh syarikat penerbangan.

“Trafik penumpang akan berbeza mengikut pasaran dan tempoh, namun fokus kami kekal untuk mengukuhkan ketersambungan serta memastikan lapangan terbang sedia menyokong permintaan perjalanan yang berubah.

“Pada masa sama, kami terus meningkatkan pengalaman penumpang merentasi rangkaian kami menerusi penambahan perkhidmatan syarikat penerbangan baharu,” katanya dalam kenyataan.

MAHB berkata, trafik domestik mencatatkan penurunan 1.0 peratus berbanding Jun kepada 3.5 juta penumpang berikutan tindakan syarikat penerbangan mengoptimumkan kapasiti bagi mendepani kos operasi dan perubahan permintaan pasaran.

Menurutnya, bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, operasi MAHB di Malaysia mengendalikan 59.0 juta penumpang. 

“Trafik antarabangsa mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus bagi tempoh itu, manakala trafik domestik menyusut 6.7 peratus.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 5.0 juta penumpang pada Julai, meningkat 6.6 peratus berbanding Jun, menjadikan pergerakan penumpang terkumpul sepanjang tahun ini mencapai 36.7 juta orang.

“Ketersambungan KLIA turut diperkukuh dengan kemasukan dua syarikat penerbangan baharu iaitu AirBorneo yang memulakan penerbangan Kuching-Kuala Lumpur dan Kuching-Singapura, serta Riyadh Air yang melancarkan laluan terus Riyadh-Kuala Lumpur,” ujarnya.

Selain KLIA, MAHB berkata, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu merekodkan lonjakan penumpang antarabangsa sebanyak 54.1 peratus kepada lebih 6,200 orang pada Julai hasil pengenalan laluan Kota Bharu-Jakarta sejak Jun lalu.

“Secara keseluruhan merentasi kumpulan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen di Turkiye, MAHB mengendalikan 12.8 juta penumpang pada Julai, membawa jumlah terkumpul Januari hingga Julai 2026 kepada 87.7 juta penumpang,” jelasnya. – UTUSAN

The post MAHB kendali 4.5 juta penumpang antarabangsa pada Julai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved