
PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) meraih keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM365.5 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 selepas mengambil kira kos berkaitan Prihatin dan pergerakan tukaran asing.
Kumpulan berkata, hasil syarikat meningkat 6.8 peratus kepada RM2.96 bilion pada suku tersebut berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong pertumbuhan merentasi semua segmen pelanggan serta momentum berterusan dalam penawaran konvergensi, penyelesaian digital perusahaan dan infrastruktur digital serantau.
Bagi separuh pertama 2026, hasil kumpulan meningkat 4.8 peratus kepada RM5.90 bilion, manakala PATAMI sebanyak RM687.0 juta.
Katanya, prestasi kekal menggalakkan meskipun terdapat pelarasan ketara tahun ke tahun, termasuk pelarasan nilai kapasiti 5G yang diumumkan sebelum ini serta kos sekali sahaja yang lain.
“Kos berkenaan adalah khusus bagi tempoh tersebut dan bersifat tidak berulang. Tindakan strategik yang diambil itu dijangka mengukuhkan kecekapan operasi TM serta menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang.
“Disokong prestasi asas yang berdaya tahan, Kumpulan kekal yakin untuk mencapai panduan tahun kewangan 2026 serta meneruskan komitmen terhadap pembayaran dividen mampan kepada pemegang saham,” katanya dalam kenyataan.
Selaras prestasi positif dan komitmen terhadap penciptaan nilai, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 7.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi separuh pertama 2026 kepada 13.5 sen sesaham, mewakili 75 peratus daripada PATAMI dilaporkan, lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata, prestasi keseluruhan Kumpulan menunjukkan strategi PWR 2030 terus memberikan kemajuan ketara merentasi kumpulan.
“Bagi pengguna, kami memperkukuh penawaran konvergensi Unifi dengan memberikan nilai lebih besar menerusi jalur lebar, mudah alih dan penyelesaian rumah pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain menjadikan kandungan premium lebih mudah diakses menerusi Unifi TV, termasuk Piala Dunia FIFA 2026.
“Bagi perusahaan dan kerajaan pula, kumpulan terus mengembangkan penyelesaian digital bernilai lebih tinggi yang dihoskan secara nasional, termasuk awan, keselamatan siber, perkhidmatan pintar dan platform AI.
“Pada masa sama, kami terus memperkukuh kesalinghubungan serantau dan infrastruktur pusat data bagi memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat daripada penyedia skala besar serta beban kerja dipacu AI,” katanya.
Beliau berkata, penerapan AI dan kelestarian kekal sebagai elemen penting dalam transformasi TM.
“Berpandukan Prosperity, Planet and People, kami memastikan pertumbuhan TM terus memperkukuh daya tahan perniagaan, memajukan penjagaan alam sekitar serta membolehkan kemajuan digital yang inklusif.
“Dengan pelaksanaan berdisiplin yang terus kami tunjukkan, ditambah fokus terhadap pertumbuhan hasil berulang bernilai lebih tinggi merentasi semua segmen pelanggan, kami kekal berada di landasan untuk mencapai panduan tahun kewangan 2026 dan komitmen penciptaan nilai, termasuk pulangan mampan kepada pemegang saham,” ujarnya. – UTUSAN
The post TM catat untung bersih RM365.5 juta bagi suku kedua appeared first on Utusan Malaysia.






