Tular di media sosial kejadian mengejutkan di Buntong, Ipoh apabila dua pelajar ditemui tidak bernyawa di kawasan Flat Sungai Pari.
Mangsa merupakan rakan karib yang masing-masing berusia 14 tahun. Mengikut laporan Sinar Harian, kedua-dua mangsa ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan flat tersebut.
Dua pelajar ditemui tidak bernyawa berhampiran flat kosong
Ibu kepada salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Seela berkata dia sendiri menghantar anaknya bersama rakan baiknya itu ke sekolah dari rumah mereka di Menglembu kira-kira jam 1 petang.

Dua pelajar berkenaan mengikuti pembelajaran sesi petang. Sekitar jam 4.50 petang, dia menerima panggilan yang memaklumkan anaknya berada di kawasan perumahan kosong tersebut.
Saya tidak tahu kenapa anak saya boleh berada di sini. Sedangkan sebelum ini dia tidak pernah pun datang ke tempat begini. Selama ini, pergi dan balik sekolah, saya yang hantar dan jemput, setiap hari. Tak sangka perkara begini boleh berlaku terhadap anak saya.
Dalam perkembangan terbaru, polis memaklumkan setakat ini siasatan tidak menemukan sebarang penglibatan pihak lain dalam kes kematian dua pelajar perempuan terbabit.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, siasatan awal turut mendapati kedua-dua mangsa dipercayai meninggalkan kawasan sekolah secara sukarela sebelum kejadian berlaku.
Kini siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kedua-dua mangsa. Jelasnya, punca sebenar hanya dapat disahkan selepas laporan bedah siasat serta analisis forensik diperoleh.
Beliau menasihat orang ramai supaya menghormati privasi keluarga, tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
The post Kes Di Flat Sungai Pari: Siasatan Polis Dapati Pelajar Dipercayai Tinggalkan Sekolah Secara Sukarela appeared first on Oh! Media.





