Kes Fiya: Suspek 16 tahun, apa nasibnya selepas ini?

7 Oct 2026 • 9:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes Fiya: Suspek 16 tahun, apa nasibnya selepas ini?
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes bunuh Irene Sofiya di sebuah sekolah di Yong Peng pada Sabtu.
Image from: Kes Fiya: Suspek 16 tahun, apa nasibnya selepas ini?
Irene Sofiya (gambar kecil) ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat pada Sabtu.

KEMATIAN Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor merupakan tragedi yang mengejutkan kerana ia berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk pelajar.

Irene Sofiya yang lebih mesra dipanggil Fiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam dewan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia. Hasil bedah siasat, polis memaklumkan punca kematian akibat trauma tumpul di kepala.

Perkembangan paling penting setakat ini ialah penahanan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas Fiya. Suspek ditahan pada kira-kira jam 7 malam pada hari kejadian di sekitar Yong Peng dan direman enam hari bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas telefon bimbit, pakaian dan selipar suspek. Semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala motif dan punca sebenar kejadian masih belum diketahui.

Istilah 'suspek' amat penting. Pada peringkat ini, seseorang belum boleh dianggap bersalah hanya kerana ditahan atau disiasat. Polis masih perlu mengumpulkan bukti forensik, keterangan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), data telefon dan bukti lain sebelum menentukan sama ada pertuduhan wajar dikenakan.

Rampasan telefon bimbit paling utama kerana konflik dalam kalangan pelajar kini tidak semestinya bermula di kantin atau bilik darjah, sebaliknya boleh tercetus dalam telefon sebelum dibawa ke dunia nyata.

**media[3669870]**

Menurut Pakar Kriminologi dan Keselamatan Sempadan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin, pelajar hari ini hidup dalam dua dunia serentak iaitu fizikal dan digital menyebabkan pertelingkahan boleh berlaku tanpa henti di luar pengetahuan guru dan ibu bapa.

Hampir setiap konflik bermula bukan di kantin sekolah, tetapi di dalam telefon, di kumpulan WhatsApp kelas, di ruangan komen TikTok atau di Threads. Di situlah bermulanya sindiran, penyebaran aib dan ugutan yang berlaku 24 jam tanpa rehat. Guru tidak nampak, ibu bapa tidak tahu.

Pendedahan berterusan kepada video pergaduhan, prank melampau dan kandungan keganasan turut berisiko menipiskan empati sehingga perbuatan agresif dianggap sesuatu yang biasa.

Kelemahan mengawal impuls juga membimbangkan apabila pelajar mahu bertindak segera ketika berasa malu, cemburu atau tercabar di hadapan rakan.

Pelajar hari ini kurang berlatih untuk bertenang dan berunding kerana kemahiran sosial bersemuka semakin lemah. Apabila berasa malu, cemburu atau tercabar, mereka mahu membalas dengan segera untuk menjaga air muka.

Keadaan boleh menjadi lebih serius apabila pelajar memendam tekanan kerana takut mendapatkan bantuan atau dilabel bermasalah sehingga emosi terkumpul dan akhirnya meletus dalam bentuk keganasan fizikal.

Mengenai CCTV, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengatakan sekolah berkenaan mempunyai CCTV, namun kemudahan itu tidak dipasang di lokasi kejadian.

Beliau menegaskan tindakan kewangan atau penamatan kontrak boleh dikenakan terhadap syarikat kawalan keselamatan sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran syarat ditetapkan.

Dalam kes ini, persoalan paling besar ialah: apakah nasib suspek sekiranya dia didakwa dan akhirnya disabitkan? Faktor umurnya sangat penting. Suspek berusia 16 tahun ketika kejadian.

Masa depan suspek bagaimanapun boleh menjadi sangat panjang dan tidak menentu. Tahanan sebegitu boleh mengambil masa bertahun-tahun dengan semakan berkala terhadap kesnya.

Kesimpulannya, tumpuan kini bukan sekadar kepada menghukum, tetapi memastikan kebenaran mengenai kematian Fiya benar-benar dibuktikan melalui proses undang-undang. Keluarga mangsa berhak mendapat keadilan, manakala suspek tetap berhak mendapat perbicaraan yang adil.

Jika bukti akhirnya membawa kepada sabitan, usianya bermakna hukuman mati tidak tersedia, tetapi itu tidak bermaksud dia akan terlepas hukuman di sisi undang-undang yang setimpal.

*Juliana Rosdi ialah Sub Editor Sinar Harian

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved