
BENTONG – Seorang lelaki warga China berusia awal 40-an ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes samun kedai emas di SkyAvenue, Genting Highlands, di sini, Ogos lalu.
Tangkapan terbaharu itu menjadikan keseluruhan tujuh suspek ditahan polis setakat ini bagi membantu siasatan kes samun membabitkan kerugian kira-kira RM1.75 juta.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, suspek warga China itu ditahan ketika baru mendarat di Malaysia sebelum dibawa untuk membantu siasatan.
“Untuk makluman, ada tangkapan terbaru yang telah pihak polis Pahang buat pada semalam. Suspek merupakan seorang lelaki warga China.
“Siasatan masih kita teruskan lagi dan permohonan reman telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong. Supek direman sehingga 10 Oktober ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Bentong dan Pengerusi Perkep Daerah Bentong di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, di sini, hari ini.
Menurut Azry Akmar, setakat ini tiada barang rampasan diperoleh daripada suspek terbaharu berkenaan selain barangan peribadi.
Azry berkata, daripada tujuh suspek yang telah ditahan, lima merupakan warga asing manakala dua lagi rakyat tempatan. – KOSMO! ONLINE
The post Suspek warga China ditahan di KLIA, tujuh sudah ditangkap appeared first on Kosmo Online.






![[VIDEO] Lelaki tendang penunggang motosikal diburu polis](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-07-at-08.59.28-1024x573.jpeg)