Kes gangguan seksual di Malaysia meningkat lebih dua kali ganda

11 Sep 2026 • 4:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kes gangguan seksual di Malaysia meningkat lebih dua kali ganda

SEMPORNA: Peningkatan laporan gangguan seksual di negara ini menunjukkan keperluan memperkukuh kesedaran awam, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata peningkatan itu perlu diberi perhatian, namun pada masa sama mencerminkan kesedaran lebih tinggi dan kesediaan mangsa tampil mendapatkan bantuan.

Nancy berkata rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes gangguan seksual meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, daripada 477 kes pada 2022 kepada 522 kes (2023), 788 kes (2024) dan 1,083 kes tahun lalu.

“Sebanyak 388 kes dilaporkan di seluruh negara sehingga Mei tahun ini, termasuk 31 kes di Sabah,” katanya pada Program Toleransi Sifar Terhadap Keganasan anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita, pada Khamis.

Nancy berkata kerajaan memperkukuh usaha menangani gangguan seksual menerusi Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) yang berkuat kuasa pada 8 Mac 2024.

“Penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual (TAGS) turut menyediakan saluran alternatif yang lebih mudah, murah dan pantas untuk mangsa menuntut hak mereka.

Sehingga 30 Ogos, sebanyak 134 aduan gangguan seksual difailkan, dengan 90 daripadanya telah diselesaikan.

“Ini menunjukkan tribunal berupaya menjadi saluran dipercayai yang membawa keadilan kepada mangsa,” katanya.

Mengenai program itu, Nancy berkata ia bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai bentuk gangguan seksual, hak mereka serta tindakan yang boleh diambil apabila berdepan kejadian berkenaan.

“Orang ramai bukan sahaja perlu mengetahui bahawa gangguan seksual atau keganasan adalah salah, tetapi juga tahu apa yang perlu dilakukan, tempat mendapatkan bantuan dan bagaimana masyarakat boleh bersama-sama mencegahnya,” katanya.

Beliau berkata keselamatan dan maruah wanita merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan keluarga, masyarakat, institusi pendidikan, tempat kerja, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil.

Nancy berkata kementerian turut melaksanakan kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) bagi memastikan agenda menamatkan keganasan terhadap wanita dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.

Sementara itu, beliau berkata keganasan rumah tangga terus kekal sebagai isu penting, dengan 7,116 kes direkodkan pada 2024 dan 7,391 kes tahun lalu.

“Sebanyak 4,646 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara sehingga Julai tahun ini, termasuk 424 kes di Sabah,” katanya.

Beliau menggesa mangsa tampil bersuara, menyimpan bukti dan mendapatkan bantuan melalui saluran yang sesuai, selain meminta keluarga serta masyarakat menyokong mangsa tanpa menghakimi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved