
SEREMBAN - Mahkamah Tinggi akan menentukan sama ada Mahkamah Sesyen Seremban mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes hasutan membabitkan Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak @ Dohak, yang kedudukannya dipertikaikan.
Prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung persoalan perlembagaan yang dibangkitkan pihak pembelaan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Tasnim Abu Bakar, membenarkan bantahan awal dikemukakan peguam bela yang berhujah bahawa kedudukan perlembagaan Mubarak sebagai salah seorang pembesar pemerintah Negeri Sembilan berkemungkinan meletakkan kes berkenaan di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Khas, seperti diperuntukkan dalam Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.
Pihak pembelaan turut merujuk Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang membolehkan prosiding ditangguhkan dan persoalan berkaitan perlembagaan yang timbul dalam sesuatu kes dirujuk kepada Mahkamah Tinggi untuk diputuskan.
Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan bagi pengurusan kes.
Pihak pembelaan turut memohon supaya Mubarak dikecualikan daripada menghadiri prosiding seterusnya sementara menunggu penyelesaian isu perlembagaan itu.
Bagaimanapun, Tasnim berkata keputusan mengenai permohonan berkenaan bergantung pada perkembangan atau hasil permohonan yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi.
Peguam bela, Asmawi Ismail yang membangkitkan bantahan awal itu berkata, Mubarak tidak hadir bagi menjawab pertuduhan dan menegaskan bahawa bidang kuasa mahkamah perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum kes diteruskan.
Menurutnya, kedudukan Mubarak sebagai salah seorang Undang Yang Empat, iaitu empat pembesar pemerintah Negeri Sembilan bersama-sama Undang Jelebu, Johol dan Rembau, memerlukan penelitian dari sudut perlembagaan.
“Hak, keistimewaan serta kedudukan perlembagaan anak guam saya sebagai seorang pembesar pemerintah perlu diteliti terlebih dahulu bagi menentukan kesahihan prosiding ini,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu dengan alasan Mubarak bukan lagi penyandang jawatan Undang Luak Sungai Ujong ketika kesalahan yang didakwa berlaku.
Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, berkata Mubarak telah dilucutkan daripada jawatan berkenaan pada 13 Mei 2025, sebelum tarikh kejadian yang didakwa.
Keputusan tersebut kemudiannya disahkan menerusi Warta Kerajaan Negeri Sembilan yang diterbitkan pada Oktober lalu.
“Orang kena tuduh (OKT) tidak lagi menjalankan tugas sebagai Undang Luak Sungai Ujong. Oleh itu, hujahan pihak pembelaan tidak lagi terpakai.
“Warta Kerajaan dengan jelas menunjukkan bahawa OKT telah dilucutkan daripada jawatan itu pada Mei tahun lalu,” katanya.
Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly, menggesa mahkamah menolak bantahan awal berkenaan dan membenarkan kes diteruskan di Mahkamah Sesyen.
Beliau turut memohon supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Mubarak atas kegagalannya menghadiri prosiding mahkamah tanpa alasan munasabah.
Bagaimanapun, peguam bela, Dr Hanif Hassan, berhujah bahawa Warta Kerajaan berkenaan sekadar suatu pengumuman dan tidak mempunyai kuasa undang-undang yang mengikat.
Beliau turut mempersoalkan kesahihan mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang berlangsung pada 31 Julai lalu, dengan merujuk kepada perintah injunksi interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Seremban.
Perintah itu melarang enam daripada lapan anggota dewan berkenaan, termasuk Mubarak, daripada menghadiri mesyuarat tersebut.
Menurut laporan Sinar Harian pada Khamis, Mubarak berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Pihak pendakwaan dikendalikan Shahrizat, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Husni dan Anas Bashari.
Sementara itu, pasukan pembelaan Mubarak diketuai Asmawi dengan dibantu Emirul Sarifudin Nor Azmi, Hanif, Deidra Nur Azmi, Nabila Nur Azmi, Fathin Syuhadah Mohamad Yasin dan Vel Manoharan.
Mubarak didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan pada 19 April 2026 di Balai Undang Luak Sungai Ujong di sini. - Getaran, 27 November 2026






