
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (29 Julai), Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah menjatuhi hukuman penjara lima minggu terhadap Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Hukuman itu dijatuhkan selepas Shafie didapati bersalah kerana menghina mahkamah ekoran kenyataannya berhubung inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Hukuman Penjara Ditangguhkan Sementara Rayuan Difailkan
Walau bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan membenarkan penangguhan hukuman tersebut sementara rayuan difailkan oleh Shafie terhadap sabitan berkenaan.
Dalam penghakimannya, Amir Shah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Presiden Parti Warisan itu melampaui keraguan munasabah berdasarkan Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam minggu dan denda maksimum RM300 jika disabitkan bersalah.
Pendakwaan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Izhar.
Manakala, Shafie yang juga merupakan Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang diwakili peguam Jakariya Ab Jalil dan Chen Ket Chuin.
Hukuman Penjara Tak Jejas Status Shafie Sebagai ADUN
Dalam pada itu, hukuman penjara yang dikenakan terhadap Shafie tidak akan menjejaskan statusnya sebagai ADUN.
Menurut Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, hukuman penjara tidak memberikan apa-apa kesan terhadap kedudukannya.
“Kalau hukuman penjara, tiada kesan. Saya tidak tahulah kalau ada denda yang dikenakan oleh mahkamah. Kalau ada denda tetapi di bawah RM2,000, tidak juga terjejas.
“Apa pun, kalau hukuman masih dirayu, kedudukannya kekal status quo, belum ada sebarang kesan,” katanya dipetik Berita Harian.
Di bawah Perkara 17(1) (e) Perlembagaan Negeri Sabah mana-mana ADUN yang dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Shafie Diperintah Jawab Dakwaan Dibawah Perintah 52, Peraturan 3(2), Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012
Pada 22 September 2025, notis tunjuk sebab telah dikeluarkan oleh Mahkamah Koroner terhadap Shafie ekoran kenyataannya yang didakwa menganggu perjalanan prosiding inkues arwah Zara Qairina.
Ekoran itu pada 22 Oktober tahun sama, Koroner Amir Shah telah membenarkan Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Shafie serta aktivis Mona Din atau nama sebenarnya Che Muna Din.
Kedua-dua pihak dikehendaki menjawab dakwaan berkenaan mengikut Perintah 52, Peraturan 3(2), Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Walau bagaimanapun, pada 18 Disember 2025, Mona Din didenda RM300 atau dipenjara 14 hari jika gagal membayar denda tersebut selepas mengaku bersalah atas kesalahan menghina mahkamah.
Ini berhubung kenyataan Shafie dalam satu ucapannya di Kinabatangan pada September tahun lalu yang menyifatkan kematian remaja berusia 13 tahun itu sebagai satu pembunuhan selain turut mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik.
Pada 16 Julai 2025, Arwah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah asrama di Papar, Sabah sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokkan harinya.
Baca Artikel Berkaitan: “Ada Yang Tidak Kena” – Lagi Kes Pelajar Terjatuh Di Sekolah Zara Qairina, Peguam Gesa Polis Siasat Secara Telus
Baca Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina Buka Mata Aspek Keselamatan Di Sekolah, Hanya 28% CCTV Berfungsi – Menteri Pendidikan





