
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Masih hangat lagi di media sosial mengenai isu penceraian pasangan influencer, Aiman Tak Kesah dan Siti Jamumall semasa siaran langsung (live) di TikTok pada baru-baru ini.
Menerusi klip rakaman semasa kejadian yang sohor, kedengaran Aiman melafazkan cerai talak 2 terhadap Siti sebanyak tiga kali ketika wanita terbabit sedang sarat mengandung.
Isu tersebut mendapat perhatian ramai pihak memandangkan mereka berdua baru sahaja merujuk semula selepas bercerai kali pertama talak satu.
Antara perkara lain yang dibangkitkan orang ramai adalah jumlah talak yang telah jatuh memandangkan mereka pernah bercerai sebelum ini selain Aiman menyebut sebanyak tiga kali lafaz berkenaan.
Peguam Syarie tampil beri pandangan, lafaz talak disebut Aiman adalah jelas (Sarih)
Susulan itu, Peguam Syarie, Fahmi Ramli tampil memberi pandangannya berhubung isu tersebut. Jelas beliau pendapat itu berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya kendali kes di Mahkamah Syariah.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, Fahmi berkata bunyi lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu jelas (Sarih) atau kiasan (Kinayah).
“Dalam kes ini (Aiman dan Siti Jamumall), ketiga-tiga lafaz yang disebutkan suami sangat jelas ianya adalah Sarih iaitu ketiga-tiganya ada perkataan ‘cerai’. Maka tidak boleh dinafikan ia memang berniat untuk menceraikan isterinya tersebut.
“Jika suaminya tidak menyebut perkataan talak atau cerai, contohnya ‘kita berpisah’ maka itu boleh dianggap lafaz kinayah yang perlukan kepada niat suami. Dalam kes ini, pada hemat saya telah mencukupi Rukun Talaq mengikut Hukum Syarak,” katanya.
Bilangan talak jatuh mengikut berapa kali ia dilafazkan – Fahmi Ramli
Mengenai bilangan talak yang telah berlaku pula, Fahmi berkata ia perlulah difokuskan kepada berapa kali lafaz tersebut dilafazkan oleh suami dan bukannya perkataan talak dua yang disebut pada setiap ayat tersebut.
“Walaupun di dalam kes ini, suami menyebut ‘aku ceraikan dengan talak dua’, namun ayat atau lafaz ini bukan dilafazkan sekali sahaja.
“Bahkan lafaz ini diungkapkan sebanyak tiga kali dan mempunyai selang masa (fasl) antara yang pertama, kedua dan ketiga lebih kurang empat hingga lima saat (anggaran) pada setiap lafaz tersebut,” katanya.
Jelas Fahmi, selang masa setiap lafaz yang diungkapkan iaitu sekurang-kurangnya satu nafas atau lebih cukup untuk mentafsirkannya sebagai lafaz yang berlainan waktu.
“Maka setiap ayat ini cukup untuk menyatakan ia membawa makna yang tersendiri dan tidak bersandar kepada ayat yang lain,” ujar Fahmi.
Kenyataan Fahmi adalah merujuk kepada pandangan al-Syarbini di dalam kitab Mughni al-Muhtaj dan pandangan al-Ramli dalam kitab Nihayah al-Muhtaj yang disertakan di dalam hantarannya.
Kes cerai Aiman dan Siti Jamumall mungkin jatuh talak tiga
Sehubungan itu, Fahmi berkata dari kes penceraian live itu telah berlaku tiga kali lafaz talak yang berbeza dan boleh menjadikan ia sebagai talak tiga.
Pada hematnya, jika suami hanya menyebut sekali sahaja lafaz cerai dengan ayat ‘aku ceraikan kau dengan talak dua’, ia mungkin boleh diambil niat sama ada suami bermaksud talak kali kedua yang mana sebelum ini pernah bercerai talak satu kali pertama atau niatnya untuk menjadikannya sebagai talak tiga yang mana sebelum ini pernah cerai talak satu dan ingin tambah dua menjadikan ia talak tiga.
“Maka, saya berpandangan kes ini telah berlaku Talak Bain Kubra atau lebih jelas talak tiga kerana telah disebut sebanyak tiga kali ayat yang berbeza dan mempunyai perkataan cerai pada setiap ayatnya.
“Talak tiga ini membawa maksud, tidak boleh rujuk mahupun bernikah semula melainkan si isteri telah bernikah dengan lelaki lain, bersetubuh dan diceraikan oleh suami barunya.”
Namun perlu rujuk keputusan Hakim Syariah
Walau bagaimanapun, beliau berpendapat keputusan mungkin berbeza kerana ia bergantung kepada perbicaraan di Mahkamah Syariah kelak.
“Wallahualam, ini hanya pandangan peribadi saya sebagai Peguam Syarie. Pandangan ini mungkin berbeza dengan keputusan hakim kelak kerana bergantung kepada sesi perbicaraan di Mahkamah Syariah. Yang pasti, Hukum Allah tetap Hukum Allah,” kongsinya lagi.
