Kes Jana Wibawa: Pengarah Syarikat KCJ Engineering sumbang RM4.8 juta kepada Bersatu

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 5:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes Jana Wibawa: Pengarah Syarikat KCJ Engineering sumbang RM4.8 juta kepada Bersatu
Muhyiddin hadir di Mahkamah Tinggi pada Rabu bagi perbicaraan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR - Pengarah Syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi pada Rabu bahawa beliau menyumbang RM4.8 juta kepada Bersatu selepas syarikatnya dianugerahkan projek membina jalan baharu yang menghubungkan Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan, secara rundingan terus di bawah Program Jana Wibawa bernilai RM62 juta.

Datuk Seri Azman Yusoff, 54, berkata, bayaran itu dibuat mengikut kiraan dan kemampuan syarikat untuk membuat sumbangan lebih kurang tujuh hingga lapan peratus daripada nilai projek berkenaan dan berdasarkan pengalaman beliau, keuntungan dalam projek pembinaan jalan kerajaan boleh mencapai keuntungan lebih kurang 15 peratus hingga 20 peratus.

"Saya sahkan telah membuat sumbangan berjumlah RM4.8 juta kepada Bersatu yang mana RM4 juta dari akaun peribadi saya sendiri, manakala RM800,000 dari akaun syarikat saya, iaitu KCJ Engineering kerana syarikat saya dianugerahkan projek membina jalan baharu yang menghubungkan Felda Bukit Jalor ke Gemas secara rundingan terus di bawah Program Jana Wibawa oleh kerajaan Malaysia semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan juga Presiden Bersatu.

"Saya yang menyediakan empat keping cek (bagi sumbangan RM4 juta) itu dan menyerahkan cek tersebut kepada Bendahari Agong Bersatu, Datuk Salleh Baijuri sama ada di rumahnya atau pejabat Bersatu.

"Sumber kewangan untuk saya membuat bayaran kepada Bersatu daripada pinjaman saya sebagai pengarah urusan syarikat KCJ dengan syarikat saya sendiri. Pinjaman ini akan ditolak semula dengan bayaran dividen syarikat kepada saya pada akhir tahun," katanya.

Saksi pendakwaan ke-27 itu berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.

Ahli perniagaan yang berpengalaman selama 25 tahun dalam industri pembinaan projek kerajaan itu berkata, walaupun ketika itu syarikatnya belum menerima apa-apa bayaran daripada kerajaan berkaitan dengan projek Jana Wibawa, namun beliau telah mendahulukan wangnya sendiri kerana syarikatnya akan menerima bayaran pendahuluan dan tuntutan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas syarikat tersebut mendapat Surat Setuju Terima (SST) bagi projek berkenaan.

"Bagi pembayaran sumbangan RM800,000 kepada Bersatu daripada akaun syarikat KCJ, saya mengarahkan akauntan syarikat, iaitu Zuraida menyediakan empat keping cek tersebut dan saya sendiri yang menyerahkan cek-cek tersebut kepada Datuk Salleh Baijuri.

"Sumber kewangan adalah hasil penerimaan bayaran tuntutan daripada JKR bagi Projek Menaiktaraf Sistem Bekalan Gas Perubatan, Sistem Pendingin Hawa Berpusat, Sistem Pencegahan Kebakaran, Sistem Pendawaian Elektrik dan Kerja-kerja Berkaitan di Bangunan Utama Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan yang saya dilantik sebagai subkontraktor oleh syarikat kontraktor utama, iaitu Fastcool Corporation Sdn Bhd," katanya yang juga Presiden Kontraktor Bumiputera Malaysia.

Berhubung sumbangan RM4.8 juta, Azman berkata, beliau memberikan sumbangan itu kerana mengingati pemakluman secara spontan Muhyiddin kepadanya semasa beliau bertanyakan mengenai projek rundingan terus di bawah Jana Wibawa yang Muhyiddin terlebih dahulu memaklumkan kepadanya, sekiranya ingin membuat sumbangan perlu dibuat terus kepada Bersatu.

 "Saya anggap pemakluman itu membawa maksud bahawa Tan Sri Muhyiddin mengharapkan akan ada sumbangan daripada syarikat yang mendapat projek di bawah Jana Wibawa untuk memberikan sumbangan kepada Bersatu kerana beliau terlebih dahulu menyebut berkenaan sumbangan semasa perbualan tersebut.

"Jadi, saya sebagai seorang ahli perniagaan yang ingin meminta sokongan dan bantuan daripadanya menganggap pemakluman itu perlu dituruti.

"Saya percaya jika surat permohonan syarikat tidak disokong Tan Sri Muhyiddin dan tidak diproses oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), sudah tentu syarikat saya tidak akan berjaya melalui proses penilaian di Kementerian Kewangan, seterusnya berjaya dianugerahkan projek ini secara rundingan terus.

"Apabila syarikat saya disokong Tan Sri Muhyiddin, ia menjadi satu kelebihan kepada saya kerana tidak perlu bersaing dengan petender-petender lain," katanya.

Saksi itu berkata, beliau berjumpa Muhyiddin kira-kira Julai 2020 semasa menyertai Kejohanan Golf Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) di Tropicana Golf Club Damansara dan bertanya Muhyiddin berkenaan peluang-peluang perolehan projek kerajaan yang boleh dimohon oleh ahli-ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM).

Azman berkata, Muhyiddin telah memaklumkan kepadanya bahawa kerajaan telah meluluskan Program Jana Wibawa bagi mempercepat pemulihan ekonomi negara dan membantu kontraktor bumiputera yang memiliki lesen G7 melalui pelantikan secara rundingan terus.

"Tan Sri Muhyiddin juga memaklumkan kepada saya supaya mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Program Jana Wibawa tersebut daripada PMO dengan berjumpa pegawai yang bertanggungjawab, iaitu Asmar Asmadi Abdullah Sani selaku Timbalan Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin.

"Tan Sri Muhyiddin ada menyatakan secara spontan kepada saya jika terdapat ahli Bersatu atau kontraktor yang ingin membuat sumbangan, boleh sumbangkan terus kepada Bersatu dan bukannya kepada mana-mana individu di dalam Bersatu,” katanya.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin adakah saksi mengetahui perbuatan memberikan sumbangan itu adalah salah, Azman menjawab, ‘Saya tahu perbuatan itu salah’.

 "Saya seorang ahli perniagaan. Ketika itu industri pembinaan lumpuh, tiada projek yang jalan.  Alhamdulillah dengan pertolongan Tan Sri (Muhyiddin), industri bangkit semula. Sebab itu saya akur dan memberi sumbangan kepada Bersatu,” kata saksi itu.

Azman berkata, beliau tidak pernah memberikan sumbangan kepada parti politik lain selain Bersatu, serta berterima kasih kepada Muhyiddin kerana membantu kontraktor Bumiputera mendapatkan projek meskipun ketika itu negara dilanda pandemik Covid-19.

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Seri Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved