Jana Wibawa: Setiausaha Perolehan MOF hanya proses permohonan dari PMO

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 6:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jana Wibawa: Setiausaha Perolehan MOF hanya proses permohonan dari PMO

KUALA LUMPUR: Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan (MOF) memberitahu bahawa pihaknya hanya akan memproses permohonan-permohonan yang datang dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi Program Jana Wibawa.

Menurut Datin Rosni Mohd. Yusoff, 54, beliau berbuat demikian sebagaimana yang diarahkan oleh pegawai atasannya, bekas Setiausaha Perolehan, Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz.

“Sebagai penjawat awam, minit (catatan) yang tertera ataupun minit yang diletakkan dalam satu dokumen itu adalah merupakan satu tindakan. Berdasarkan kepada minit tersebut tindakan telah pun diambil oleh Pejabat Menteri Kewangan dan diberi arahan kepada Bahagian Perolehan melalui Datuk Zamzuri dan juga kepada saya.

“Hierarkinya, datangnya daripada pejabat PM kepada Pejabat Menteri Kewangan. Pejabat Menteri Kewangan memberi arahan kepada SU Perolehan untuk melaksanakan tindakan sepertimana yang telah diminitkan dan itu adalah punca kuasa untuk saya melaksanakan proses tersebut.

“Pasal kita mendapat arahan. Saya mendapat arahan sepertimana Datuk Zamzuri maklumkan kepada saya, yang mana dia mendapat arahan daripada atasan, untuk program Jana Wibawa kita hanya memproses permohonan yang datangnya daripada pejabat PMO,” kata saksi pendakwaan ke-25 ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat.

Pada 19 Ogos lalu, Zamzuri dalam keterangannya memberitahu KCJ Engineering telah disenaraikan di dalam Surat Pejabat Perdana Menteri yang bertarikh 13 November 2020 dan surat berkenaan telah dihantar kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum diminitkan kepadanya untuk membuat penilaian.

Ujar Zamzuri, sekiranya nama KCJ Engineering Sdn Bhd tidak dinyatakan dalam surat Perdana Menteri bertarikh 13 November 2020, Jawatankuasa Penilaian Kontraktor tidak akan membuat penilaian terhadap syarikat berkenaan.

Saksi itu berkata demikian dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat antaranya Nepturis dan Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Datuk Azman Yusoff.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Selain itu, Rosni sekali lagi menjelaskan bahawa pihaknya menjalankan penilaian kali kedua ke atas KCJ Engineering selepas menerima maklumat tambahan dihantar oleh Pejabat PM kepada pejabat Menteri Kewangan sebelum diserahkan kepada Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan dan diajukan kepadanya.

Pada prosiding sebelum ini, saksi berkenaan memberitahu, KCJ Engineering telah gagal dalam penilaian kontraktor kerana mempunyai projek sakit serta prestasi kerja semasa yang tidak memuaskan.

Pada ketika itu beliau menyatakan permohonan syarikat bagi mendapatkan projek kerajaan akan terhenti sekiranya gagal penilaian.

“Sewaktu keputusan dibuat (keputusan penilaian), keputusan dibuat memang tidak ada campur tangan daripada PMO, tetapi arahan yang kita dapat untuk menilai syarikat-syarikat tersebut adalah daripada pejabat PMO melalui pejabat Menteri Kewangan.

“Berdasarkan Lampiran L tersebut, kita telah membuat penilaian semula dan telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa penilaian kontrak Jana Wibawa untuk menilai semula kemampuan KCJ sama ada layak untuk melaksanakan projek ini.

“Disebabkan maklumat tersebut syarikat KCJ Engineering telah berjaya dan disebabkan itu kita angkat memo kepada Menteri kewangan untuk diberi kelulusan secara rundingan terus kepada syarikat ini,”kata saksi pendakwaan ke-25 ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat.

Ketika ditanya, pihak mana yang mengemukakan lampiran L yang mengandungi dokumen tambahan syarikat KCJ Engineering yang ketika itu memohon kontrak bagi projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalor Ke Gemas, Negeri Sembilan secara terus, saksi itu menjawab: “PMO (Pejabat Perdana Menteri)”.

Terdahulu, ketika disoal balas oleh peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad bahawa Rosni, mengesahkan bahawa beliau tidak menerima arahan terus daripada Muhyiddin namun masih terdapat arahan yang datang dari Pejabat Perdana Menteri.

Amer: Awak mengatakan bahawa terdapat arahan. Ada sebarang dokumen yang menunjukkan terdapat arahan untuk mana-mana projek dibuat secara rundingan terus.
Rosni: Ada arahan. Saya melaksanakan penilaian ini berdasarkan kepada arahan.

Amer: Jadi awak tidak menerima arahan terus dari Tan Sri (Muhyiddin Yassin)?
Rosni: Tiada. Takkan saya dapat arahan terus dari PMO.

Amer: Arahan daripada siapa? Adakah you terus daripada Tan Sri?
Rosni: Tiada. Saya dapat arahan daripada Setiausaha Bahagian saya.

Amer: Jadi, tiada dokumen menunjukkan bahawa Tan Sri kata syarikat ini mesti diberikan (projek) secara rundungan terus, setuju?

Rosni: Ada arahan yang mengatakan setuju dibuat penilaian, surat itu ada. Saya dapat arahan, Yang Arif, kalau saya tak dapat arahan macam mana saya hendak buat penilaian. Arahan pun mestilah secara bertulis.

Amer: Walaupun terdapat cadangan daripada PMO atau Perdana Menteri, awak akan tetap tidak akan buat penilaian kalau tiada arahan daripada pegawai atasan kamu?
Rosni: Ya, betul.

Amer: Itu tidak bermakna terdapat arahan daripada Perdana Menteri supaya syarikat ini diberikan secara rundingan terus.
Rosni: Arahan dari Pejabat Perdana Menteri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 26 Ogos ini. – UTUSAN

The post Jana Wibawa: Setiausaha Perolehan MOF hanya proses permohonan dari PMO appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved