
Pengarah Metrasys Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak berniat menipu MOF atau kerajaan bagi mendapatkan projek Jana Wibawa.
KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat Metrasys Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak berniat untuk menipu Kementerian Kewangan (MOF) dan kerajaan bagi mendapatkan projek di bawah Program Jana Wibawa.
Lian Tan Chuan, 55, yang juga pengasas Nepturis Sdn Bhd, berkata beliau tidak pernah memohon untuk mendapatkan projek kerajaan kerana peluang bagi syarikat bukan Bumiputera sangat terhad.
Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata demikian semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.
Sebelum ini, Pengarah dan Eksekutif Kanan Perolehan Nepturis Sdn Bhd Aliza Abd Malek berkata syarikat itu menerima e-mel pada 26 Mac 2021 daripada MOF bahawa ia telah memperoleh projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor bernilai RM141 juta.
Kepada soalan sama ada Metrasys boleh ditukar kepada syarikat Bumiputera kerana saksi itu mempunyai pekerja iaitu Aliza (Aliza Abd Malek) dan Rizman (Mohd Rizman Akum Khan), Lian menjawab: “Boleh ditukar tetapi saya hendak mengekalkan Metrasys untuk saya dan isteri saya sahaja… bagi syarikat Bumiputera, kami ada cadangan lain sebab itu kami wujudkan Nepturis”.
Bagaimanapun, Lian berkata mengikut syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), nama beliau tidak boleh ada dalam dua syarikat.
“Contohnya, kalau nama saya sudah ada di Metrasys, nama saya tidak boleh didaftarkan di Nepturis. Sekiranya didaftarkan juga, ia akan ditolak dan Nepturis tidak akan dapat (lesen) G7 dan taraf Bumiputera,” katanya.
Pada prosiding sebelum ini, Aliza berkata pada 2018, beliau dan Mohd Rizman (Pengarah Urusan Nepturis) mengambil alih syarikat itu serta dilantik sebagai pengarah, dengan masing-masing memegang saham sebanyak 50 peratus.
Aliza, yang juga saksi pendakwaan ke-13, berkata Lian atau lebih dikenali sebagai TC Lian, mempunyai pegangan saham sebanyak 30 peratus dalam Nepturis kerana segala modal syarikat itu ialah hasil suntikan daripada Metrasys.
Menjawab soalan Wan Shaharuddin mengapa surat minat Metrasys tidak disertakan dalam permohonan projek pembinaan IPD Klang Utara, Lian berkata ia bukan syarikat Bumiputera.
Saksi itu turut mengakui bahawa Datuk Azman (Yusoff) dan Adam Radlan (Adam Muhammad) ada meminta sumbangan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Wan Shaharuddin: Dalam kes ini, kamu ada sumbang RM1 juta selepas dapat Surat Setuju Terima (SST) bagi (projek) IPD Klang Utara… siapa yang minta?
Lian: Betul, Datuk Azman minta.
Menjawab soalan Wan Shaharuddin mengenai sebab Azman meminta sumbangan itu dan sama ada ia adalah satu bentuk balasan, Lian berkata perkara itu dilakukan kerana Nepturis telah memperoleh projek IPD Klang Utara.
Lian bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Muhyiddin, bahawa beliau tidak pernah berjumpa dan berbincang dengan bekas Perdana Menteri itu selain tidak mengenalinya secara peribadi.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa Muhyiddin tidak pernah meminta apa-apa sumbangan untuk dirinya atau Bersatu daripada beliau.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.






