
KUALA LUMPUR: Kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) meningkat sehingga 167 peratus kepada 7,065 kes pada minggu epidemiologi ke-36 (EP36) susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan turut direkodkan bagi kes asma dan konjunktivitis, sekali gus mendorong Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh kesiapsiagaan fasiliti kesihatan bagi menghadapi kemungkinan pertambahan pesakit.
Beliau berkata, kes asma meningkat sebanyak 127 peratus kepada 1,117 kes, manakala konjunktivitis bertambah 83 peratus kepada 3,034 kes pada minggu epidemiologi ke-40 (EP40).
“Susulan keadaan jerebu yang semakin teruk, Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan pada 4 September bagi memperkukuh pemantauan situasi, penyelarasan tindakan dan respons kesihatan awam.
“Pada minggu epidemiologi ke-36 (EP36), kes URTI meningkat sebanyak 167 peratus kepada 7,065 kes, manakala kes asma meningkat kepada 1,117 kes. Sementara itu, kes konjunktivitis meningkat sebanyak 83 peratus kepada 3,034 kes pada minggu epidemiologi ke-40 (EP40).
“Peningkatan turut direkodkan bagi kes URTI, iaitu hampir 60 peratus kepada 5,613 kes,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta kerajaan menyatakan
tindakan dan inisiatif Kementerian bagi menangani kesan jerebu terhadap kesihatan awam termasuk kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan dalam pemantauan kualiti udara, penyampaian amaran kesihatan serta perlindungan golongan berisiko.
Tambah Dzulkefly, KKM turut memperkukuh kesiapsiagaan fasiliti kesihatan menerusi penyediaan ubat-ubatan dan peralatan perubatan bagi merawat penyakit berkaitan jerebu.
Kata beliau, sebanyak 841 unit kebuk penyedutan (chamber) untuk orang dewasa dan 396 unit untuk kanak-kanak disediakan, selain 576 unit alat nebulizer bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes.
“Kita juga bekerjasama dengan JAS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi perkongsian maklumat berkaitan kualiti udara, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan keadaan jerebu bagi menyokong penilaian risiko serta tindakan kesihatan awam.
“Kita juga bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menangani kemungkinan krisis seterusnya.
“Selain itu, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilaksanakan bagi memastikan nasihat kesihatan serta langkah pencegahan yang bersesuaian disampaikan kepada kumpulan sasaran, khususnya murid sekolah dan individu yang terbabit dalam aktiviti sukan atau rekreasi luar,” katanya. – UTUSAN
The post Kes jangkitan saluran pernafasan meningkat ketika jerebu appeared first on Utusan Malaysia.






