Kes Jenazah Bayi Dibeku: Peguam ‘Kotak Pensel’ Tampil Bantu Ibu Bapa Tuntut Keadilan

LocalPolitics
12 Dec 2024 • 11:19 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Baru-baru ini, tular di media sosial kisah sedih melibatkan jenazah seorang bayi lelaki terpaksa dibekukan selama dua minggu dipercayai kerana bapanya tidak mampu untuk membayar bil sebuah hospital swasta di Klang.

Difahamkan, bayi yang dikenali sebagai Muhammad Adham Mikail telah meninggal dunia pada 24 November lalu sebelum ditahan dan dibekukan dalam peti sejuk hospital berkenaan.

Kisah yang didedahkan oleh Pengasas Pengurusan Jenazah UKVJ, Wan Cai mendapat perhatian ramai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak KKM akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu selain meminta orang ramai agar bertenang.

Kes jasad bayi dibekukan dapat perhatian peguam kotak pensil

Terbaharu, menerusi satu hantaran di laman Facebook Mr Wan Cai, kes terbabit dikatakan mendapat perhatian peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar atau lebih dikenali sebagai ‘peguam kotak pensil’.

Menerusi satu siaran lansung (live) di akaun TikTok miliknya, Ahmad Zaharil berkata beliau akan meneliti kes terbabit dengan pasukannya.

“Wan Cai telah menghubungi saya, ketika itu bapa bayi berkenaan ada bersamanya dan bersedia.

“Esok (hari ini) pukul 9 malam saya akan ke udara secara langsung membuat sidang media,” katanya dipetik Sinar Plus.

Ibu bapa bayi tak pernah jalani pemeriksaan sepanjang kehamilan

Terdahulu, hospital terbabit telah tampil menafikan dakwaan yang tular itu menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun media sosial rasminya.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik semalam (11 Disember) pengurusan hospital mendakwa ibu bayi tidak pernah mempunyai sebarang pemeriksaan sepanjang kehamilannya (Antenatal) dan memaklumkan bahawa pihak mereka hanya menerima pesakit atas dasar kemanusiaan meskipun tidak berdaftar dan saringan.

Jelas kenyataan itu lagi, ibu kepada bayi berkenaan mengakui tidak berkahwin selain bayi yang lahir disahkan mengalami sindrom siclop sebelum meninggal dunia selepas beberapa minit dilahirkan.

Pihak hospital juga memaklumkan pesakit kemudiannya dibenarkan keluar pada keesokan harinya dan jumlah keseluruhan bil adalah sebanyak RM2,480.