GEORGE TOWN – Pengerusi sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan RM10,000 selepas selesai menjalani tempoh reman berhubung siasatan dakwaan salah guna kuasa membabitkan urusan tanah milik agensi kerajaan.
Lelaki berusia 53 tahun itu dibebaskan kira-kira jam 1 petang Rabu selepas melengkapkan tempoh lanjutan reman selama seminggu yang diberikan Mahkamah Majistret di sini.
Beliau dibebaskan dengan seorang penjamin selain memberikan jaminan secara lisan.
Peguam, Dr Shamsher Singh Thind berkata, anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan dijalankan.
“Anak guam saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat dan tidak menyembunyikan apa-apa maklumat.
“Beliau bersedia membantu siasatan sekiranya diperlukan,” katanya ketika dihubungi.
Pada Isnin, Majistret Nurhanisah S H Sahul Hamid membenarkan lanjutan reman selama tiga hari terhadap lelaki berkenaan dan seorang lagi lelaki bergelar Datuk berusia 40-an yang juga seorang pemaju.
SPRM sebelum itu memohon lanjutan reman selama empat hari namun mahkamah membenarkan tiga hari dan kedua-duanya dijangka dibebaskan hari ini.
Kedua-dua suspek sebelum itu direman selama empat hari bermula Jumaat lalu.
Sementara itu, tiga lagi individu yang sebelum ini direman termasuk adik lelaki pengerusi terbabit, adik iparnya dan seorang lagi pemaju telah dibebaskan dengan jaminan.
Siasatan SPRM itu dipercayai berkaitan dakwaan salah guna kedudukan membabitkan urusan penjualan tanah di Seberang Perai Selatan pada 2015.
Menurut Shamsher sebelum ini, permohonan reman dibuat susulan kebimbangan anak guamnya boleh mengganggu saksi serta dokumen berkaitan siasatan.
“Alasan reman adalah perkara biasa kerana beliau pengerusi dan mereka tidak mahu beliau mengganggu saksi lain, selain terdapat banyak dokumen yang perlu diteliti,” katanya selepas prosiding pada Isnin.
Sebelum ini, SPRM menahan lima individu termasuk pengerusi agensi kerajaan berkenaan yang disyaki menyalahgunakan kedudukan ketika menjadi Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah untuk meluluskan penjualan tanah kepada sebuah syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sekutunya.
Urus niaga berkenaan dipercayai dilakukan pada harga lebih rendah berbanding nilai pasaran sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM1.96 juta.
Empat lagi individu yang ditahan sebelum ini terdiri daripada seorang lagi pengarah syarikat, pengurus teknikal dan seorang kerani wanita.
Kesemua mereka ditahan secara berperingkat di pejabat SPRM Pulau Pinang sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk permohonan reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.





