
TAIPING: Seramai 517 orang maut dalam kemalangan jalan raya di Perak sepanjang Januari hingga September tahun ini, meningkat enam kematian berbanding 511 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, jumlah kemalangan maut turut meningkat kepada 477 kes berbanding 465 kes, iaitu pertambahan 12 kes atau kira-kira tiga peratus.
Menurutnya, sebanyak 32,660 kemalangan direkodkan di negeri ini dalam tempoh tersebut berbanding 31,932 kes bagi tempoh sama tahun lalu, meningkat 728 kes atau kira-kira dua peratus.
“Jalan negeri mencatatkan jumlah kemalangan maut dan kematian tertinggi, masing-masing sebanyak 141 kes dan 155 kematian,” katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Tahun 2026 Polis DiRaja Malaysia Kontijen Perak bersama Toyo Tyre Malaysia di Kamunting hari ini.
Menurutnya, jalan bandaran merekodkan jumlah keseluruhan kemalangan tertinggi dengan 14,474 kes, diikuti jalan Persekutuan sebanyak 6,367 kes, jalan ekspres sebanyak 4,351 kes, jalan negeri sebanyak 4,328 kes dan jalan lain sebanyak 3,140 kes.
Bagi daerah Taiping, katanya, jumlah kemalangan menurun kepada 3,163 kes berbanding 3,174 kes, namun kemalangan maut meningkat daripada 39 kepada 42 kes, manakala jumlah kematian menurun daripada 43 kepada 42 orang.
“Kawasan industri Taiping pula mencatatkan 27 kemalangan berbanding 24 kes tahun lalu, dengan kesemua kejadian tahun ini hanya melibatkan kerosakan kenderaan.
Mohd Alwi berkata, program kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak dengan Toyo Tyre Malaysia Sdn. Bhd. itu bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, khususnya dalam kalangan pekerja kilang dan masyarakat setempat.
Mengulas punca kemalangan, beliau berkata, beberapa faktor dikenal pasti termasuk keadaan jalan, sikap pemandu dan penunggang serta tahap keselamatan kenderaan.
“Antara kesalahan yang menyumbang kepada kemalangan ialah memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat, selain pemandu tidak mendapat rehat mencukupi,” katanya. – UTUSAN
The post Kes kemalangan maut di Perak meningkat appeared first on Utusan Malaysia.






