
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Masihkah anda ingat tentang kes kematian melibatkan seorang bayi perempuan berusia 15 bulan yang dikenali sebagai Baby Syifaa sekitar empat tahun lalu?
Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sewaktu di bawah jagaan pengasuh di sebuah pusat asuhan yang terletak di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Namun bapa bayi berkenaan, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.
Kes itu nyata mendapat perhatian ramai termasuklah isteri pemangku Sultan Johor, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam yang menyifatkan kematian bayi berkenaan yang didakwa terjerut buai adalah satu perkara yang tidak masuk akal.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Baby Syifaa, Polis Sudah Lengkapkan Siasatan Menyeluruh
Pengasuh Dijatuhi Hukuman Penjara Setahun & Denda RM15,000
Terbaharu, Mahkamah Sesyen Seremban hari ini (30 Mac) menjatuhi hukuman penjara selama setahun serta denda RM15,000 terhadap pengasuh Baby Syifaa yang dikenali sebagai Khairunnisa Ahmad Damamhuri.
Hukuman bermula pada Isnin dan mahkamah turut memerintahkan tambahan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda terbabit.
Hakim N Kanageswari menjatuhkan hukuman tersebut terhadap wanita yang berusia 41 tahun itu atas pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi berkenaan kira-kira empat tahun yang lalu.
Perkara itu diputuskan oleh N Kanageswari pada hari terakhir prosiding perbicaraan kes yang berlangsung hari ini.
Tertuduh Turut Diarahkan Laksana Khidmat Masyarakat
Pada masa yang sama, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaksanakan khidmat masyarakat selama 48 jam sepanjang tempoh enam bulan sebaik sahaja dia selesai menjalani hukuman penjara serta bon berkelakuan baik selama setahun sebanyak RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron manakala Khairunnisa diwakili peguam, S Kavittha.
Ibu bapa Baby Syifaa, Anida Idrus dan Yuseri Yusoff turut hadir ketika prosiding berlangsung.
Berdasarkan pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan, Nour Rania Asyifaa mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira jam 12.30 tengahari pada 22 Februari 2022 di Pusat Asuhan di Bandar Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.
Khairunnisa kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah Koroner Putuskan Punca Kematian Baby Syifaa Akibat Tekanan Pada Leher
Sebelum ini, Mahkamah Koroner pada 31 Julai 2024 telah memutuskan punca kematian bayi berkenaan adalah disebabkan tekanan pada leher.
Perkara itu diputuskan Koroner, Datin Surita Budin yang menjelaskan kematian Baby Syifaa bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan, tetapi disebabkan tergantung dalam buaian yang ditinggalkan pengasuh.
Seramai 28 saksi termasuk ibu bapa bayi berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang prosiding inkues yang berlangsung sejak 22 September 2022.
Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Putuskan Kematian Baby Syifaa Bukan Satu Kemalangan Sebaliknya Kecuaian Pengasuh
Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Tidak Benarkan Bapa ‘Baby Syifaa’ Keluar Kenyataan Di Media Sosial

