[VIDEO] Kematian Baby Syifaa: Pengasuh dihukum penjara setahun, denda RM15,000

LocalFamily & Parenting
30 Mar 2026 • 11:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
image is not available
Khairunnisa dibawa polis selepas dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM15,000

SEREMBAN - Selepas empat tahun kematian Baby Syifaa, Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM15,000 kepada pengasuh bayi terbabit.

Hakim, N Kanageswari menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Khairunnisa Ahmad Damamhuri, 41, yang berdepan pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi berusia 15 bulan itu di sebuah pusat asihan di Bandar Sri Sendayan di sini.

Dalam prosiding keputusan kes itu, beliau mengarahkan hukuman tersebut bermula pada Isnin dan tambahan penjara empat bulan sekiranya tertuduh tidak membayar denda.

Selain itu, tertuduh turut diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 48 jam dalam tempoh enam bulan sebaik saja selesai menjalani hukuman penjara serta bon berkelakuan baik selama setahun sebanyak RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Tertuduh diwakili peguam S Kavittha manakala pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron.

Turut hadir, ibu dan bapa Baby Syifaa, Anida Idrus, 44, dan Yuseri Yusoff, 42.

Mengikut pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan, telah mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Media pada 31 Julai 2024 melaporkan, Mahkamah Koroner di sini memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhannya disebabkan tekanan pada leher.

Koroner, Datin Surita Budin ketika membacakan keputusan itu berkata, kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan tetapi disebabkan tergantung di dalam buaian yang ditinggalkan oleh pengasuh.

Surita juga memaklumkan Khairunnisa yang merupakan saksi ke-19 turut didapati gagal memastikan keselamatan Baby Syifaa.

Ini kerana katanya, wanita itu dalam keterangannya sebelum ini mengakui meninggalkan bayi terbabit tanpa pengawasan berpatutan selama dua jam.

Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian sebelum membuat permohonan inkues.